Selasa, 3 Jun 2014

6/03/2014 02:14:00 PG

PDRM menang 3-2 ke atas Perlis


PDRM menang 3-2 ke atas Perlis

Posted: 02 Jun 2014 06:34 AM PDT

PENDAHULU Liga Perdana 2014, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengekalkan rekod tanpa kalahnya dengan kemenangan tipis 3-2 ke atas Perlis dalam pertemuan di Stadium Darul Aman, Alor Setar hari ini.

Dengan tiga mata penuh yang diperoleh hari ini, PDRM mengumpul 43 mata, jauh meninggalkan pencabar terdekat Felda United yang mengumpul 37 mata serta Pulau Pinang, 36 mata.  

Dalam pertemuan tunggal Liga Perdana hari ini, PDRM memecah kebuntuan gol seminit sebelum tamat separuh masa pertama, sumbangan gol sendiri ketua pasukan Perlis Mohd Khairi Zainuddin yang tertanduk bola ke gawang sendiri dalam cubaan mengeluarkan bola dari kawasan penalti.

Empat minit babak kedua bermula, PDRM  menambah gol menerusi pemain import Charles Souza Chad yang menyudahkan percubaan Mohamadou Sumareh yang gagal ditangkap kemas oleh penjaga gawang Perlis, Mohd Amirul Rosli.

Souza menjaringkan gol ketiga PDRM pada minit ke-65.

Perlis yang ketinggalan 0-3 bagaimanapun bangkit dan merapatkan jurang pada minit ke-67 menerusi Dao Bakary dan Hadi Syahmi Hamzah (m-82). - Bernama

Final Piala FA dipindah ke Stadium Shah Alam

Posted: 02 Jun 2014 06:00 AM PDT

  • Stadium

PERLAWANAN akhir Piala FA 2014 antara Pahang dan Felda United FC yang dijadual berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil Sabtu ini, dipindahkan ke Stadium Shah Alam.

Pengerusi Jawatankuasa Pengelola Perlawanan Akhir Piala FA 2014 Datuk Seri Afandi Hamzah berkata langkah itu dibuat selepas mendapati keadaan rumput di Stadium Bukit Jalil belum mencapai tahap kematangan sempurna untuk sebarang aktiviti.

"Kita sudah adakan lawatan ke Stadium Bukit Jalil (baru-baru ini) dan setelah bermesyuarat hari ini, kita membuat keputusan berpindah bagi mengelakkan sebarang risiko kepada tumbesaran rumput dengan menganjurkan hanya satu perlawanan," katanya kepada pemberita di sini.

Sementara itu, Afandi yang juga Timbalan Presiden FAM berkata pihaknya akan mengagihkan 30,000 tiket masing-masing kepada kedua-dua pasukan.

Baki 10,000 lagi tiket akan dijual dalam talian menerusi www.tickethotline.com.my dengan harga RM40 bagi dewasa dan RM5 bagi kanak-kanak bermula esok, katanya.

"Penyokong yang membuat pembelian dalam talian boleh menuntut tiket masing-masing di Stadium Malawati Shah Alam bermula Rabu sehingga hari perlawanan dari 9 pagi hingga 6 petang memandangkan tidak ada penjualan tiket secara langsung di venue pertandingan.

"Kita menetapkan setiap individu hanya dibenarkan membeli maksimum empat keping tiket sahaja," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) Datuk Rozabil Abdul Rahman dalam sidang media berasingan, berkata faktor cuaca yang tidak menentu akhir-akhir ini merencatkan proses pertumbuhan rumput di Stadium Nasional Bukit Jalil.

"Saya tidak mahu kerana satu perlawanan ini sahaja akibatnya memberi kerosakan kepada struktur padang yang baru dinaik taraf," katanya yang menyangkal laporan bahawa kelewatan kontraktor punca padang itu masih tidak boleh digunakan.

Katanya permukaan padang Stadium Nasional Bukit Jalil berbeza dengan stadium lain di negara ini kerana kedudukannya di paras bawah tanah selain keadaan bumbung yang menghalang cahaya matahari di sesetengah bahagian padang, mengekang proses pertumbuhan rumput.

Rozabil berkata bagi memastikan rumput di stadium itu mendapat pencahayaan yang mencukupi untuk tumbuh dengan baik, pihaknya akan menggunakan kaedah 'grow light', iaitu memasang lampu LED di tempat-tempat tertentu yang dijangka bermula malam ini.

"Kita tidak menolak kemungkinan untuk menggunakan kaedah ini bagi tempoh masa yang panjang berikutan keadaan cuaca yang tidak menentu seperti hujan yang turun pada lewat petang sejak kebelakangan ini," katanya.

Pahang mara ke final selepas mencatat kemenangan agregat 2-1 ke atas finalis musim lepas, Johor Darul Ta'zim, sementara Felda United pula ke final berdasarkan peraturan gol di tempat lawan selepas terikat dengan keputusan agregat 5-5, menerusi dua aksi separuh akhir. – Bernama

Qatar nafi rasuah pegawai Fifa

Posted: 01 Jun 2014 09:44 PM PDT

  • Peguam etika FIFA Michael Garcia dijadualkan bertemu dengan pegawai Qatar pada Isnin.Peguam etika FIFA Michael Garcia dijadualkan bertemu dengan pegawai Qatar pada Isnin.

PENGANJUR Piala Dunia 2022, Qatar menafikan sekeras-kerasnya dakwaan pihak mereka menyogok pegawai atasan untuk mendapatkan hak kejohanan tersebut, lapor Al-Jazeera.

Dalam sebuah kenyataan, jawatankuasa penganjur Persekutuan
Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) berkata, pihaknya sentiasa mengekalkan piawaian, etika dan integriti sebagai langkah dan usaha untuk berjaya.

Walaupun wujud penafian dari pihak penganjur Fifa-Qatar, pihaknya menyatakan kesudian mereka untuk memberikan kerjasama penuh ke atas siasatan yang dijalankan oleh pegawai penyiasat, Michael Garcia.

"Kami akan berikan kerjasama penuh terhadap penyiasatan yang sedang dijalankan oleh Garcia dan kami yakin bahawa pihak kami bersih daripada dakwaan sedemikian.

"Pihak kami yakin bahawa kami memperoleh hak kejohanan Fifa 2022 dan menjadi tuan rumah secara adil," katanya dalam satu kenyataan.

Semalam, dunia sukan dikejutkan dengan dakwaan oleh portal berita The Sunday Times yang dikatakan mendedahkan pengambilan wang rasuah AS$5 juta oleh seorang pegawai kejohanan Fifa-Qatar, Mohamed Hammam ke atas seorang pegawai bola sepak Fifa.

Laporan berita tersebut turut menyatakan bahawa pihaknya mempunyai bukti beratus e-mel, nombor akaun dan dokumen yang membuktikan bahawa Mohammed terlibat dalam penyelewengan rasuah dalam kejohanan tersebut.

Irfan Bakti: Hadiah buat peneroka Felda

Posted: 01 Jun 2014 05:15 PM PDT

  • Irfan BaktiIrfan Bakti

FELDA United FC menyifatkan kejayaan melangkah ke final Piala FA 2014 sebagai hadiah terbaik untuk semua warga peneroka Felda atas sokongan padu terhadap pasukan itu.

Ketua jurulatihnya Irfan Bakti Abu Salim berkata, peminat The Fighters tidak jemu memberi galakan dan sokongan penuh kepada pasukan sehingga layak ke final Piala FA buat pertama kali.

Felda United menggunakan kelebihan gol di tempat lawan untuk menyingkirkan juara bertahan Kelantan dengan agregat 5-5 selepas pertemuan separuh akhir  kedua di Stadium Shah Alam, kelmarin.

Pada perlawanan akhir 7 Jun ini, Felda akan bertemu dengan juara Piala Malaysia 2013, Pahang selepas skuad Tok Gajah mengalahkan Johor Darul Ta'zim (JDT) dengan agregat 2-1 dalam satu lagi pertemuan separuh akhir, Jumaat lalu.

Bercakap kepada pemberita selepas perlawanan itu, Irfan Bakti mengakui skuad Pahang, kendalian Zainal Abidin Hassan, merupakan sebuah pasukan yang hebat dan beliau tetap menghormati lawannya itu.

"Apa yang perlu dipertingkatkan ialah kekuatan mental serta konsentrasi pemain sepanjang perlawanan. Pemain sering hilang tumpuan apabila sedang mendahului sesuatu perlawanan," katanya.

Boateng mohon maaf gagal ke final

Posted: 01 Jun 2014 05:00 PM PDT

  • Penyerang Kelantan, Forkey Doe (kiri) diasak pertahanan Felda United FC, Mohd Khairul Ismail pada aksi separuh akhir kedua Piala FA di Stadium Shah Alam, malam kelmarin. - Foto Sinar Harian Sharifudin Abdul RahimPenyerang Kelantan, Forkey Doe (kiri) diasak pertahanan Felda United FC, Mohd Khairul Ismail pada aksi separuh akhir kedua Piala FA di Stadium Shah Alam, malam kelmarin. - Foto Sinar Harian Sharifudin Abdul Rahim

NADA kecewa dilontar pengendali The Red Warriors, George Boateng setelah pasukan kendaliannya gagal melangkah ke pentas final Piala FA musim ini angkara peraturan gol di tempat lawan.

Boateng menjadi individu paling kecewa berbanding anak buahnya yang memerah keringat di padang kerana segala percaturannya untuk menumbangkan Felda United FC tidak kesampaian pada aksi separuh akhir kedua di Stadium Shah Alam, malam kelmarin.

"Saya memohon maaf kepada semua pemain dan seluruh penyokong Kelantan di atas kegagalan ini. Ia sesuatu yang memeritkan tetapi inilah bola sepak, kami tidak tewas tetapi tetap gagal ke perlawanan akhir.

"Kami mempunyai empat peluang terbaik dalam babak pertama, bukan lagi 50-50 peratus tetapi bola itu memang patut menerjah jaring. Namun itu tidak berlaku, akhirnya kami hanya mampu menjaringkan dua gol sahaja," katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Pada perlawanan tersebut, Felda United FC berada di depan seawal minit ke-20 menerusi tandukan Indra Putra Mahayuddin, namun Kelantan kembali mendahului hasil sentuhan Mohd Khairul Izuan Rosli dan Francis Forkey Doe (m-29 dan 34) sebelum Edward Junior Wilson menyamakan kedudukan dalam masa kecederaan babak pertama.

Keputusan seri 2-2 pada aksi separuh akhir kedua itu membolehkan The Settlers memahat sejarah tersendiri mara ke perlawanan akhir buat kali pertama biar pun agregat terikat 5-5 untuk bertemu Pahang pada perlawanan akhir di Stadium Nasional Bukit Jalil, 7 Jun ini.

Jurulatih berusia 39 tahun itu memberitahu, faktor keletihan turut menghantui anak didiknya sehingga menyaksikan mereka gagal mencipta peluang berbahaya untuk mencari gol kemenangan dalam babak kedua perlawanan tersebut.

"Tetapi saya tidak boleh menyalahkan mana-mana pemain di atas kegagalan ini. Mereka telah berusaha sedaya mungkin tetapi Kelantan jelas memiliki nasib yang sama seperti Johor Darul Ta'zim yang tewas kepada Pahang," katanya.

Tambahnya, kejayaan The Settlers mengikat seri tersebut turut dibantu dengan kerapuhan benteng pertahanan biarpun diterajui pemain import Iraq, Hussein Alaa Hussein Salman  sepanjang aksi 90 minit perlawanan.

"Melepaskan tiga gol (di Kota Bharu) dan dua gol di sini (Shah Alam) kepada pasukan bertaraf Liga Premier bukanlah rekod yang baik buat Kelantan.

"Benteng pertahanan kami begitu mudah ditembusi dan saya akui kelemahan inilah menjadi penyebab kami tersingkir," katanya.

Menurutnya, setelah gagal mempertahankan kejuaraan, pasukannya akan kembali fokus terhadap persaingan Liga Super dan beliau mahu memperbaiki kelemahan tersebut menjelang pertemuan menentang Lions XII, 10 Jun ini.

England ada peluang

Posted: 01 Jun 2014 04:50 PM PDT

  • Wayne RooneyWayne Rooney

PENYERANG England, Wayne Rooney yakin skuad The Three Lions berpotensi melangkah ke perlawanan akhir Piala Dunia 2014 di Brazil nanti.

Kali terakhir England melangkah ke final adalah 48 tahun lalu, iaitu ketika menjadi tuan rumah Piala Dunia 1966.

Ketika itu mereka muncul juara buat kali pertama, menewaskan Jerman Barat, 4-2.

"Kami mampu memberi pengaruh yang besar dalam kempen kali ini dan mampu melangkah ke final.

"Potensi dan kualiti England hari ini, benar-benar menyuntik semangat saya. Lihat sahaja pemain-pemain muda yang tersenarai seperti Daniel Sturridge, Luke Shaw dan Adam Lallana," kata Rooney.

Dalam edisi Piala Dunia kali ini, pengendali England, Roy Hodgson menyenaraikan sejumlah pemain yang tidak pernah beraksi dalam kejohanan besar.

"Saya tidak dapat menjangkakan apa yang bakal berlaku di Brazil nanti tetapi saya positif kami dapat melakukannya," sambung Rooney.

0 ulasan:

Catat Ulasan