Ahad, 4 Januari 2015

1/04/2015 03:34:00 PG

FIC 2015: Liverpool, Feyenoord mengganas


FIC 2015: Liverpool, Feyenoord mengganas

Posted: 03 Jan 2015 06:45 AM PST

DUA pasukan dari Eropah iaitu Liverpool dari England dan Feyenoord (Belanda) mengganas dalam aksi Kumpulan A, Piala Antarabangsa Frenz U-18 (FIC) 2015, hari ini.

Dalam aksi di Stadium Gelora Sriwijaya, Palembang, Indonesia, Liverpool terlebih dahulu ketinggalan, 3-2, menentang pasukan tuan rumah, Frenz United Indonesia (FUI) sebelum perlawanan berhenti rehat.

Bagaimanapun pasukan yang digelar The Reds itu kembali bangkit pada separuh masa kedua melalui gol penyamaan yang disempurnakan oleh penyerang lincah, Correia Toni.

Gol itu menjadi pembakar semangat buat Reds yang terus melancarkan serangan bertali arus walaupun pada satu ketika pasukan dari Eropah itu berdepan masalah dengan cuaca panas.

Pesta gol kemudiannya berlaku di mana kedua-dua pasukan saling berbalas jaringan sehingga pada satu ketika, kedua-dua pasukan terikat dengan jaringan, 5-5, sehingga minit ke-85.

Bagaimanapun, dua minit sebelum masa sebenar berakhir, Toni muncul sebagai wira Reds dengan meledakkan gol kemenangan bagi membolehkan Liverpool mengumpul tiga mata penuh.

Bagi Ketua Jurulatih Reds, Critchley Neil, kemenangan ini bukan keputusan yang dapat dibanggakan kerana pemainnya tidak beraksi pada tahap terbaik.

"Kami masih kepenatan kerana baru tiba di Palembang malam tadi (semalam) dan langsung tidak menjalani sebarang latihan sebelum perlawanan ini.

"Bagaimanapun saya memuji semangat juang pemain saya kerana mereka kembali bangkit meraih kemenangan pertama," katanya.

Dalam satu lagi aksi di sebelah malam, Feyenoord membenam pasukan dari China, Guangzhou Evergrande, 5-1.

Erik Herrmann mencipta rekod kejohanan sebagai pemain pertama meledakkan empat gol pada minit ke-27, 63, 67 dan 76.

Satu lagi gol Feyenoord disumbangkan oleh Mohammed El Hankouri manakal gol saguhati buat Guangzhou Evergrande dihadiakan oleh Peng Wang.

Liverpool kini menghuni tangga teratas kumpulan, berkongsi mata dengan Feyenoord dengan tiga mata, diikuti FUI dan Guangzhou Evergrande.

Liverpool selepas ini akan berdepan Guangzhou Evergrande manakala FUI menentang Feyenoord, Isnin ini.

Sementara itu, aksi Kumpulan C di Kuala Lumpur menyaksikan pasukan dari Jepun, Gamba Osaka menundukkan pasukan dari Turki, Besiktas JK, 3-1, di Stadium Maybank, petang tadi.

Wakil Malaysia, Frenz United Malaysia akan memulakan saingan esok menentang Tottenham Hotspur di Stadium UiTM, Shah Alam.
 

Peledak baharu TRW

Posted: 02 Jan 2015 08:37 PM PST

  • Reputasi Carrillo muncul selaku penjaring terbanyak Liga Colombia dijangka bakal menggegarkan pentas Liga-M musim depan.Reputasi Carrillo muncul selaku penjaring terbanyak Liga Colombia dijangka bakal menggegarkan pentas Liga-M musim depan.

MENGUMUMKAN ketibaan peledak baharu The Red Warriors, Erwin Carrillo. Khabar gembira buat penyokong skuad Pantai Timur itu apabila penyerang dari Colombia itu sudah menjejakkan kaki di Kota Bharu, Isnin lalu. Ketibaan Carrillo sekali gus menyaksikan skuad kendalian George Boateng kini lengkap kesemua bintang import mereka setelah Jonathan McKain dari Australia, Emmanuel Kenmogne (Cameroon) dan Isaac Pupo (Liberia) sudah pun turun menjalani latihan sejak minggu lalu.

Carrillo, tampil dengan reputasi cukup tinggi dan menjadi sandaran utama Kelantan bagi menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim depan dan perkara ini diakui sendiri Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Tan Sri Annuar Musa, baru-baru ini.

KECAPI POPULARITI AWAL

Meskipun belum lagi turun berlatih bersama rakan sepasukan baharunya, namun Carrillo seperti mengecapi populariti lebih awal daripada penyokong fanatik pasukan berkenaan ketika ini.

Rekod cemerlangnya meledak 29 gol daripada 41 penampilan bersama Union Magdalena dalam Liga Colombia sekali gus dinobatkan sebanyak penjaring terbanyak membuatkan penyokong Kelantan tidak sabar-sabar menunggu dia memperagakan aksinya di Kota Bharu, selepas ini.

Malah populariti Carrillo dilihat mengatasi kehebatan Kenmogne atau lebih dikenali panggilan Pancho yang merupakan penjaring terbanyak Liga Super Indonesia (ISL) dengan 25 gol dalam 27 penampilan ketika bersama Persebaya Surabaya, musim lalu.

REPUTASI JADI TARUHAN

Reputasi penyerang berusia 31 tahun itu yang pernah bersama pasukan kebangsaan Colombia sejak 2005 dan membuat 71 penampilan dengan menjaringkan 38 gol hampir pasti menjadi taruhan Kelantan untuk menggegar pentas Liga-M musim depan.

Malah, pemain kelahiran Santa Marta berketinggian 1.81 meter itu dijangka duduk sebaris bersama Luciano Figueroa (Johor Darul Ta'zim), Paulo Rangel (Terengganu) dan Dickson Nwakaeme (Pahang) yang dianggap bintang import paling menyerlah setakat ini.

Pastinya, aksi persahabatan menentang kelab Indonesia, Persija Jakarta di Kota Bharu pada 4 Januari depan, bakal menjadi ujian sulung buat pemain yang pernah berkelana di Peru bersama FBC Melgar musim 2011 untuk membuktikan pembelian Kafa adalah tepat pada musim depan.

Sentuhan ajaib Dollah

Posted: 02 Jan 2015 08:31 PM PST

KEJAYAAN Malaysia mara ke final Kejohanan Bola Sepak Piala AFF Suzuki 2014, yang melabuhkan tirai di Stadium Nasional Bukit Jalil Sabtu lalu, membuktikan Dollah Salleh mempunyai 'sentuhan ajaib' dalam membawa skuad negara melangkah lebih jauh.

Dollah yang mula mengambil alih 'kerusi panas' itu daripada Datuk K Rajagobal pada Julai lalu, melakar kejayaan dengan membawa skuad Harimau Malaya layak ke final walaupun banyak pihak meragui kemampuan beliau membentuk pasukan mantap dalam tempoh singkat.

Skuad itu, yang hanya sempat berkumpul bagi sesi latihan pusat selama dua bulan, membuktikan kemampuan dengan mara ke final sebelum kalah dengan agregat 3-4 kepada juara tiga kali, Thailand.

Malaysia menang 3-2 ke atas Thailand pada aksi timbal balik, namun gagal meraih kejuaraan kedua selepas 2010, berikutan kekalahan 0-2 pada final pertama di Stadium Nasional Rajamangala, Bangkok, Rabu lepas.

Untuk rekod, Malaysia meraih kejuaraan sulung Piala AFF pada 2010 di bawah Rajagobal menerusi agregat 4-2 ke atas Indonesia.

90,000 penyokong

Kehadiran lebih 90,000 penyokong pada aksi timbal balik malam tadi wajar diberi pujian kerana mereka masih percaya dengan corak taktikal Dollah walaupun sebelum ini, beliau dikritik kerana sering membariskan beberapa pemain berusia dalam perlawanan peringkat kumpulan B yang berlangsung di Singapura dari 23 hingga 29 November lalu.

Mengimbau perjalanan skuad Harimau Malaya dalam kejohanan edisi ke-10 itu, mereka bermula dengan langkah sumbang selepas seri tanpa jaringan menentang Myanmar pada aksi pembukaan kumpulan B di Stadium Jalan Besar, Singapura, 23 November lalu sebelum kalah 2-3 kepada Thailand di venue sama tiga hari kemudian.

Dollah bijak mencatur strategi dengan mempertaruhkan pemain veteran seperti Indra Putra Mahayuddin dan Mohd Badhri Mohd Radzi pada aksi terakhir menentang Singapura di Stadium Nasional Kallang, 29 November lalu yang menyaksikan Malaysia mara ke separuh akhir menerusi kemenangan bergaya 3-1.

Pengendali kelahiran Melaka itu sekali lagi membuktikan sentuhan beliau menjadi apabila Malaysia menundukkan Vietnam dengan agregat 5-4 pada saingan separuh akhir untuk mara ke final.

Skuad Harimau Malaya yang kalah 1-2 pada aksi pertama di Stadium Shah Alam, 7 Disember lalu, bangkit melakar kemenangan bergaya 4-2 di Stadium Nasional My Dinh, Hanoi, Vietnam.

Beri ruang kepada Dollah Kapten pasukan, Muhammad Shukor Adan yang ditemui pemberita selepas final kedua, menyifatkan Dollah mempunyai sentuhan berbisa dan yakin jurulatih itu mampu membimbing pasukan negara meraih lebih banyak kejayaan pada masa akan datang.

"Sebelum kejohanan bermula, ramai pihak memandang rendah kemampuan Dollah serta pemain senior yang ada dalam skuad ini tapi akhirnya, kami buktikan kepada mereka kami berjaya ke final.

"Beri peluang kepada Dollah untuk merealisasikan harapan rakyat Malaysia bagi menaikkan mutu bola sepak negara. Apa yang Dollah buat pada perlawanan ini serta perlawanan terdahulu, kita harus hargai," kata pemain berusia 35 tahun itu yang membuat penampilan terakhir bersama skuad kebangsaan.

Legenda turut berbangga

Bekas pemain kebangsaan era 70-an, Bakri Ibni turut bangga dengan kejayaan Dollah yang berjaya meningkatkan mutu persembahan skuad Harimau Malaya walaupun diberi tempoh singkat untuk mempersiapkan pasukan bagi menghadapi kejohanan itu.

Beliau bagaimanapun menggesa pemain skuad Harimau Malaya supaya mengubah mentaliti dengan memberi fokus lebih jauh, iaitu beraksi di kejohanan benua Asia.

"Saya cukup bangga dengan kejayaan Dollah yang berjaya meningkatkan prestasi pemain ke tahap yang boleh dipuji namun kejayaan sebenar adalah apabila kita dijemput beraksi menentang jaguh bola sepak Asia seperti Jepun dan Korea Selatan tidak kira dalam perlawanan persahabatan atau kejohanan Asia.

"Kita sepatutnya berada sebaris dengan mereka sebagaimana yang pernah dilakukan bekas pemain pada era kegemilangan bola sepak negara sekitar 60-an dan 70-an," jelas bekas pengendali pasukan Perlis itu.

Piala AFF Suzuki 2016 yang dianjurkan bersama Filipina dan Myanmar, bakal menjadi medan terbaik kepada Dollah, andai dikekalkan sebagai jurulatih, bagi menebus kekecewaan skuad Harimau Malaya dan jutaan rakyat Malaysia. - Bernama

Kedah usah buat mudah

Posted: 02 Jan 2015 08:22 PM PST

HIJAU Kuning atau nama panggilan keduanya, Lang Merah melihat saingan Liga Premier musim depan tidak mudah yang disangkakan berikutan persiapan rapi beberapa pasukan lain mahu merebut dua slot automatik layak ke Liga Super 2016.

Kedah juga dilihat tidak kalah dengan persiapannya apabila masih lagi mengekalkan ketua jurulatih, Tan Cheng Hoe untuk membina sendiri pasukan kendaliannya bagi musim 2015.

Pengurus pasukan, Datuk Jeffrey Low Hang Chow berkata, memang sasaran utama mereka adalah untuk layak ke liga utama negara pada tahun 2016, namun beliau percaya pasukan seperti Pulau Pinang, Sabah dan Negeri Sembilan boleh menggugat impian tersebut.

Bentuk persefahaman

Menurutnya, buat masa ini pasukan kejurulatihan sedang membentuk kesefahaman di kalangan pemain kerana lebih separuh pasukan adalah muka baru termasuk pemain import.

"Kedah akan cuba bersaing kali ini untuk layak secara automatik ke saingan Liga Super 2016 selepas berada di saingan Liga Premier beberapa musim dan ini adalah antara sasaran utama yang mahu dicapai.

"Bagaimanapun ia bukan satu tugas mudah malah saya secara peribadi melihat jadual liga yang dilewatkan bermula Februari 2015 memberi peluang kepada jurulatih untuk mencari kesebelasan utama yang sebenar," katanya kepada Sinar Harian.

Persahabatan bina keyakinan Kedah sudah menghadapi beberapa perlawanan persahabatan untuk membina keyakinan pemain dan terbaru dengan menewaskan pasukan Liga FAM, Kedah United, 5-0.

Sebelum itu, Hijau Kuning berjaya menewaskan pasukan Liga Super, Perak, 2-1 di laman lawan, menewaskan pasukan dari Thailand, Songkla United, 3-2, menewaskan pasukan Liga FAM, MIFA, 3-2 dan tewas pada perlawanan persahabatan pertama kepada pasukan Liga FAM, Sungai Ara FC, 2-1.

Jeffrey berkata, Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) juga akan mengadakan perlawanan persahabatan timbal balik dengan Perak pada 30 Disember ini di Stadium Darul Aman dan juga pesaing dari utara, pasukan Liga Premier Pulau Pinang pada 5 Januari 2015.

Jelasnya, mereka juga dapat mengadakan perlawanan ujian menentang pasukan Liga Super Kelantan pada 26 Januari 2015 nanti.

"Kami tidak menafikan bahawa perlawanan menghadapi pasukan yang kuat penting dan kini ia sedang diusahakan untuk mengadakan ujian dengan pasukan-pasukan gergasi negara lain selepas telah mendapat persetujuan dari Perak, Pulau Pinang dan Kelantan," katanya.

PFA, FAM perlu segera bertindak

Posted: 02 Jan 2015 08:14 PM PST

APA nasib kami, mungkin itulah yang bermain difikiran 12 pemain Perlis yang dikatakan tidak mendapat bayaran gaji hampir lima bulan dari Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA).

Pemain berkenaan Khairi Zainuddin, Muhammad Faizal Nasir, Farizal Rozali, Amirul Seman, Farouk Hashim, Zahid Ahmad, Zairi Hafiezi, Suvihart Shian, Arfan Rashid, Fazuan Abdullah, Fitri Jamaluddin dan pemain dari Ivory Coast, Dao Bakary kini terpaksa bergantung harapan sepenuhnya kepada Persatuan Pemain Bola Sepak Malaysia (PFAM) untuk menyelesaikan kesengsaaran dihadapi mereka.

CARA MUDAH

Bagi bekas ketua pasukan Singa Utara, Khairi yang mewakili rakan-rakannya berkata, mereka pada awalnya tidak mahu menghebahkan masalah mereka kepada pihak media namun apabila tiada maklum balas positif daripada PFA setelah beberapa sesi perbincangan diadakan, PFAM sahaja menjadi harapan terakhir mereka agar gaji yang tertunggak lima bulan lalu dapat dinikmati oleh semua pemain.

"Sebenarnya, kami cuba mewujudkan situasi menang-menang tetapi nampaknya tiada sebarang usaha daripada PFA mahu membayar gaji kami sejak Jun lalu, jadi ini adalah ikhtiar kami.

"Bayangkan ada antara kami yang kereta mereka telah ditarik balik, meminjam wang saudara-mara bagi meneruskan kehidupan dan saya sebagai ketua pasukan berasa bertanggungjawab untuk membela nasib kawan-kawan," katanya.

ADA CADANGAN

Khairi  juga mendakwa PFA telah membuat tindakan silap dengan menganggap tidak perlu membayar gaji pemain sebaik sahaja Perlis tersingkir daripada pertandingan Piala Malaysia menerusi perlawanan terakhir pada 24 Jun lalu.

"Bila isu ini keluar, ada pandangan yang kurang tepat (daripada PFA) apabila menyatakan gaji kami hanya dibayar hingga Jun sahaja, sedangkan kontrak kami yang telah diteliti oleh Pesuruhjaya Sumpah, jelas menyatakan gaji semua pemain perlu dibayar hingga November.

"Pembayaran terakhir yang dilakukan pada 15 September lalu oleh Presiden PFA adalah gaji bagi bulan Jun dan dia patut tengok kontrak dahulu, fahamkan betul-betul dan bukannya membuat kesimpulan sendiri.

"Perjumpaan yang diadakan pada September lalu pun tidak mendapat persetujuan daripada majoriti pemain apabila ramai pemain tidak dapat datang kerana terpaksa balik ke kampung masing-masing setelah tiada pendapatan," katanya yang menjelaskan dalam perjumpaan itu juga ada pemain yang hadir telah menolak cadangan PFA yang hanya mahu membayar gaji hingga bulan Jun sahaja.

KATA DUA

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif PFAM, Izham Ismail berkata pihaknya tidak teragak-agak untuk mengheret PFA dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) ke mahkamah, malah sehingga ke peringkat Persekutuan Bola Sepak Dunia (FIFA) sekiranya mereka gagal menyelesaikan isu tunggakan gaji pemain Perlis.

Jelas Izham, pihaknya berharap PFA terutamanya Presiden, Datuk Rozabil Abd Rahman serta FAM tidak mengambil sikap tunggu dan lihat berhubung isu itu kerana pemain-pemain Perlis kini sengsara tanpa sumber pendapatan sejak Liga Perdana berakhir pada Jun lalu.

"Dua surat rasmi berhubung isu ini telah dihantar kepada PFA pada 29 September dan 16 Oktober. Afidavit pemain-pemain kepada FAM pula telah dihantar pada 12 November namun sehingga kini tiada sebarang tindakan daripada kedua-dua pihak berkenaan.

"Oleh itu, kami tidak akan teragak-agak untuk membawa isu ini ke mahkamah atau FIFA jika PFA atau FAM tidak cuba membantu kami menyelesaikan isu ini dalam masa terdekat.

"Apabila kami membawa kes ini kepada pihak media dan bertindak lebih agresif melalui kenyataan penaung kami, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, barulah PFA memberikan respon tetapi kenyataan mereka pula bercanggah, akhirnya masa berjalan (tanpa ada tindakan) dan pemain merana," katanya dalam sidang akhbar yang turut dihadiri Presiden PFAM, Hairuddin Omar, Puchong, baru-baru ini.

Safee jangka Liga-M sengit

Posted: 02 Jan 2015 05:01 PM PST

  • Safee (tengah) kekal bersama Harimau Selatan untuk musim ketiga.Safee (tengah) kekal bersama Harimau Selatan untuk musim ketiga.

PENYERANG kebangsaan, Safee Sali menjangkakan saingan sengit bakal dirasai pada musim baharu Liga Malaysia 2015 (Liga-M).

Beliau yang kekal bersama skuad Harimau Selatan untuk musim ketiga percaya semua pasukan kini sedang melakukan persiapan teliti sebelum bermulanya saingan liga.

"Musim baharu ini dijangka lebih sengit di mana setiap pasukan kini sedang melakukan persiapan dengan teliti.

"Begitu juga JDT, saya bersama rakan sepasukan lain akan pergi ke Australia untuk menjalani beberapa perlawanan persahabatan dan membuat persiapan rapi menghadapi musim 2015," katanya di sini semalam.

Ditanya mengenai saingan bakal dihadapi untuk menempatkan diri dalam kesebelasan utama JDT, pemain yang mendapat jolokan Super Safee itu mengakui tidak terlalu memikirkan mengenai perkara itu.

"Buat masa sekarang saya tidak terlalu memikirkan mengenai kesebelasan utama (dalam pasukan).

"Yang penting saya berada dalam pasukan dan akan cuba berlatih bersungguh-sungguh untuk mendapat semula keyakinan saya. Masa akan menentukan (dipilih dalam kesebelasan utama JDT)," katanya.

0 ulasan:

Catat Ulasan