Rabu, 17 Disember 2014

12/17/2014 03:12:00 PG

Tiga saudara berkonvoi untuk Harimau Malaya


Tiga saudara berkonvoi untuk Harimau Malaya

Posted: 16 Dec 2014 05:19 AM PST

  •  Penyokong Harimau Malaya (dari kanan) Datuk Azman Abu Hassan, Mohd Arfan Afiq Azman, Mohd Amiruddin Mahmud dan Mohd Azharuddin Mahmud tiba di perkarangan hotel skuad Harimau Malaya bagi menyaksikan perlawanan akhir Piala AFF Suzuki 2014, hari ini. Penyokong Harimau Malaya (dari kanan) Datuk Azman Abu Hassan, Mohd Arfan Afiq Azman, Mohd Amiruddin Mahmud dan Mohd Azharuddin Mahmud tiba di perkarangan hotel skuad Harimau Malaya bagi menyaksikan perlawanan akhir Piala AFF Suzuki 2014, hari ini.

TIGA bersaudara sanggup mengharungi perjalanan lebih 1,500 km menggunakan motosikal berkuasa tinggi bagi memberikan sokongan padu kepada skuad Harimau Malaya yang bakal menentang Thailand pada final pertama bola sepak Piala AFF Suzuki 2014 di Stadium Rajamangala di Bangkok, esok.
   
Datuk Azman Abu Hassan, 48 yang mengetuai konvoi berkenaan berkata, beliau bersama dua anak saudaranya iaitu pasangan adik beradik, Mohd Amiruddin dan Mohd Azharuddin Mahmud memulakan perjalanan dianggarkan sejauh 1,519km sejak dua hari lepas bermula dari Kuala Lumpur sebelum sampai di sini, hari ini.
   
Beliau yang ditemani oleh anak ketiganya, Mohd Azli, 15 telah membelanjakan hampir RM1,000 bagi mengisi petrol sepanjang perjalanan jauh itu dan membawa harapan skuad Harimau Malaya kendalian Dollah Salleh dapat melakar kemenangan selesa menentang skuad 'Gajah Perang'.
   
" Firasat saya (sebelum ini) kuat mengatakan pasukan kita akan muncul juara selepas pasukan kita menang (agregat) 5-4 dengan Vietnam (pada separuh akhir), baru-baru ini dan anak saya begitu bersungguh mengajak saya datang ke sini.
   
Walaupun menempuh pelbagai halangan, kami sanggup bersusah payah datang ke sini bagi memberikan sokongan kepada pasukan kebangsaan kita," kata Azman.
      
Beliau berkata demikian ketika ditemui Bernama selepas selamat tiba di Hotel Golden Tulip Sovereign, di sini, hari ini.
   
Berkongsi pandangan yang sama adalah Mohd Azharuddin, 35 yang bersetuju untuk mengikuti konvoi berkenaan bagi memberikan sokongan padu kepada skuad Harimau Malaya.
   
"Kami semua datang ke sini kerana ingin berikan sokongan kepada skuad Harimau Malaya. Kita tidak kisah membanting tenaga selama dua hari demi pasukan kebangsaan dan saya harap mereka akan menang 2-0 pada perlawanan malam esok.
   
"Bagi saya tiada yang mustahil (untuk menang) kerana pasukan kita sudah membuktikannya dalam perlawanan menentang Vietnam sebelum ini.
   
Mohd Amiruddin, 32 pula mengharapkan perjalanan jauh tersebut dapat dibalas dengan kemenangan oleh skuad Harimau Malaya.

"Kita datang berkonvoi ke sini demi skuad Harimau Malaya. Perjalanan pertama ke Kuala Lumpur sehingga ke Chumphon dianggarkan lebih kurang 1,100km dan kita bermalam di sana (semalam) sebelum meneruskan perjalanan ke Bangkok," kata anak jati Melaka itu yang bekerja sendiri.
   
Malaysia bakal menerima kunjungan Thailand pada aksi timbal balik di Stadium Nasional Bukit Jalil, 20 Disember ini. - Bernama
 

Jadual perlawanan akhir Piala AFF Suzuki

Posted: 15 Dec 2014 10:15 PM PST

  • Piala AFF Suzuki 2014Piala AFF Suzuki 2014

BERIKUT ialah jadual yang ditetapkan bagi perlawanan akhir pusingan pertama Piala AFF Suzuki 2014 di Rajamangala Stadium di Bangkok, Thailand esok (17 Disember):
  
MALAYSIA lwn Thailand -- 7 malam
  
(Nota:Thailand adalah sejam lewat berbanding Malaysia)   - Bernama

Harimau Malaya mampu tundukkan Thailand

Posted: 15 Dec 2014 09:17 PM PST

  • Datuk Sudarsono OsmanDatuk Sudarsono Osman

PENGURUS pasukan Harimau Malaya Datuk Sudarsono Osman mahu pemain belajar daripada kesilapan yang menyebabkan kekalahan mereka kepada Thailand dalam perlawanan kumpulan Piala AFF Suzuki 2014 di Singapura.

Beliau berkata pasukan Harimau Malaya mendahului Thailand dua kali sehingga tempoh 10 minit terakhir, apabila mereka kecundang dalam perlawanan itu.

"Jadi saya fikir daripada pengalaman itu, pemain kita harus lebih bijak apabila bertemu pasukan sama (Thailand) pada perlawanan akhir pertama Piala AFF Suzuki yang berlangsung di Bangkok pada Rabu.

"Tidak kira sama ada kita bermain di tempat sendiri atau di luar, dan mungkin lebih banyak tekanan bermain di tempat sendiri," katanya di sini malam tadi dan menambah pasukan negara bernasib baik kerana semua pemain bebas daripada kecederaan serius atau penggantungan perlawanan.

Beliau juga bersetuju pemain veteran seperti Muhammad Shukor Adan dan Indra Putra Mahayuddin memainkan peranan penting dalam memastikan kemenangan  skuad kebangsaan membenam Vietnam 4-2 pada aksi timbal balik di Hanoi pada Khamis lalu selepas tewas 1-2 di Stadium Shah Alam, 7 Disember lepas.

Malaysia layak ke perlawanan akhir selepas menewaskan Vietnam dengan agregat  5-4. 

"Saya fikir pengalaman dan kepimpinan Shukor dan Indra Putra telah membuka laluan untuk menembusi kubu lawan yang mana sukar diperoleh pada pusingan pertama separuh akhir menentang Vietnam," kata Sudarsono yang juga Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Membandingkan Thailand dan Vietnam, Sudarsono berkata berdasarkan pemerhatian, Thailand adalah pasukan yang kuat di rantau ini tetapi dalam perlawanan bola sepak, banyak kejutan boleh berlaku.

Presiden Persatuan Bola Sepak Sarawak itu juga menggesa semua penyokong untuk mempamerkan semangat kesukanan yang tinggi seperti yang dilakukan oleh penyokong Vietnam di negara itu.

"Peminat bola sepak di Vietnam adalah yang terbaik," katanya. Perlawanan akhir kedua antara Malaysia dan Thailand akan berlangsung di Stadium Nasional  Bukit Jalil pada 20 Disember. - Bernama

Man United kembali ke landasan juara

Posted: 15 Dec 2014 05:32 PM PST

MANCHESTER United meneruskan rentak kemenangan enam perlawanan berturut-turut dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) setelah menundukkan musuh tradisi, Liverpool 3-0 di Old Trafford, kelmarin.

Penjaga gol United, David De Gea juga harus dinobat sebagai wira dengan melakukan beberapa aksi menyelamat dengan gol dijaringkan menerusi kapten pasukan, Wayne Rooney, Juan Mata dan Robin van Persie.

Kemenangan turut menyaksikan United kini hanya ketinggalan lapan mata di belakang pendahulu, Chelsea selepas 16 perlawanan dengan Liverpool menambah rekod kekalahan kepada tujuh.

Pengendalinya, Louis van Gaal percaya, United kini di landasan betul untuk dinobatkan sebagai juara EPL musim ini.

"Bagi saya, perlawanan yang paling penting adalah saingan seterusnya. Kami menang enam perlawanan berturut-turut dan ia sesuatu yang hebat tetapi corak permainan perlu diperbaiki dan ia sesuatu yang berulang kali saya katakan pada setiap minggu.


"Hanya selepas perlawanan menentang QPR dan Hull saya lihat kita mendominasi sepanjang 90 minit perlawanan berlangsung, tapi ia tidak berlaku pada perlawanan menentang Liverpool dan ia perlu diperbaiki.

"Bagaimanapun saya gembira kerana hasrat untuk menang ketika menentang pasukan itu menjadi kenyataan dan ia menggembirakan semua pihak," katanya.

Yakin Reds bangkit baki saingan liga

Posted: 15 Dec 2014 05:30 PM PST

  • Sturridge (kanan) suara kekecewaan dan simpati dengan kekalahan The Reds di tangan musuh tradisi mereka, Manchester United, kelmarin.Sturridge (kanan) suara kekecewaan dan simpati dengan kekalahan The Reds di tangan musuh tradisi mereka, Manchester United, kelmarin.
PENYERANG Liverpool, Daniel Sturridge mengakui kecewa dan simpati dengan kekalahan dialami pasukannya apabila tewas 0-3 kepada Manchester United dalam saingan EPL, kelmarin.

Namun pemain berusia 25 tahun yang kini berehat panjang selepas mengalami kecederaan sejak Ogos lalu, menerusi Twitternya meminta penyokong The Reds berdiri teguh di belakang skuad Brendan Rodgers kerana dia yakin kelab itu mampu bangkit pada baki saingan liga.

"Kekalahan ini memang mengecewakan semua orang, saya bangun untuk menyaksikan pertandingan dan keputusannya amat menyakitkan.

"Tapi saya tetap optimis dan berharap semua orang akan merasakan hal yang sama.

"Saya tahu saya harus bekerja keras untuk pulih dan saya sudah tidak sabar untuk kembali membantu pasukan," katanya.

Spurs pamer karakter sebenar

Posted: 15 Dec 2014 05:25 PM PST

  • Aksi peledak gol kemenangan Spurs, Christian Eriksen (kanan) ketika berdepan Swansea City, semalam.Aksi peledak gol kemenangan Spurs, Christian Eriksen (kanan) ketika berdepan Swansea City, semalam.
PENGENDALI Tottenham Hotspur, Mauricio Pochettino percaya pasukannya sudah mula mempamerkan karakter sebenar bagi mencabar mana-mana pasukan dalam usaha memburu trofi EPL musim ini.

Spurs kini menduduki tangga ketujuh liga dengan 24 mata selepas membenam Swansea City, 2-1 di Stadium Libert, semalam.

Pochettino berkata, kesungguhan anak buahnya jelas menunjukkan kematangan barisan pemainnya.

"Kami menunjukkan karakter sebenar, satu persembahan sepasukan yang bagus, aksi individu sebahagian pemain juga wajar dipuji.

"Ia jelas menunjukkan kami kini mengalami proses yang lebih baik dari semasa ke semasa dan mula memahami idea saya.

"Pemain semakin sedar peluang memburu trofi liga pastinya terjejas sekiranya gagal pamer aksi memberangsangkan sepanjang bulan ini.

"Pemain perlu kekal bertanggungjawab setiap kali beraksi bersama Spurs, ketinggalan tidak mengapa asalkan memenangi perlawanan," katanya.

0 ulasan:

Catat Ulasan