Sabtu, 13 Disember 2014

12/13/2014 03:08:00 PG

FAM percaya Harimau Malaya mampu juara


FAM percaya Harimau Malaya mampu juara

Posted: 12 Dec 2014 07:00 AM PST

PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) percaya skuad Harimau Malaya mampu menjulang Piala Suzuki AFF 2014, menentang pasukan Thailand pada final timbal balik pada 17 dan 20 Disember ini.

Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, Harimau Malaya harus menang pada perlawanan final jika mahu terus diingati peminat bola sepak tanah air.

"Kita memang tidak ada pilihan lain, kita perlu menang kerana orang akan ingat kalau kita menang piala tapi orang tidak akan ingat kalau kalah...lupa. Manisnya adalah jika kita bergelar juara.

"Saya harap Harimau Malaya tidak akan lepaskan peluang untuk menang kali ini. Saya sudah tekankan kepada pemain, supaya perjuangan kita tidak sampai di sini sahaja. Ambil peluang beraksi di Kuala Lumpur, untuk menang Piala AFF," katanya sebaik tiba dari Hanoi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di Sepang hari ini.

Ditanya sama ada padang Stadium Nasional Bukit Jalil atau Stadium Shah Alam yang akan dipilih sebagai venue perlawanan final, Hamidin berkata, keputusan akan dibuat esok sebaik sahaja beliau melakukan lawatan ke Stadium Bukit Jalil.

Hamidin berkata, pihaknya telah memaklumkan kepada Perbadanan Stadium Malaysia mengenai lawatannya itu untuk memastikan keadaan padang di Stadium Bukit Jalil sesuai digunakan bagi aksi final menentang Thailand.

Tiket bagi perlawanan akhir kedua pada 20 Disember ini akan dijual dengan harga RM10 dan RM50 di pekarangan stadium.

Dalam perkembangan lain, Hamidin berkata, beliau telah menghantar surat sebagai tanda penghargaan kepada pihak berkuasa Vietnam yang telah memastikan perlawanan separuh akhir kedua antara Malaysia dan Vietnam berakhir dengan selamat.

Malaysia menewaskan Vietnam, 4-2 di Stadium My Dinh di Hanoi, sekali gus melayakkan diri ke saingan akhir menentang Thailand dengan kemenangan agregat 5-4.

"Walaupun Vietnam tewas kepada Malaysia malam tadi tapi para penyokongnya tidak membuat sebarang kekecohan dan 'sporting' ...tidak membalas dendam terhadap insiden yang berlaku kepada penyokongnya di Shah Alam, Ahad lepas.

"Penyokong Vietnam terus balik sebaik sahaja perlawanan tamat dan tiada sebarang insiden liar berlaku sejak dari mula sehingga akhir perlawanan," katanya. - Bernama

Dollah mahu Harimau Malaya kekal momentum

Posted: 12 Dec 2014 05:51 AM PST

JURULATIH pasukan bola sepak kebangsaan Dollah Salleh mahu skuad Harimau Malaya terus mengekalkan momentum persefahaman dan komitmen tinggi pada aksi final Piala Suzuki AFF 2014 menentang Thailand pada 17 dan 20 Disember ini.

Malaysia akan bertemu Thailand selepas menewaskan Vietnam 4-2 di Stadium My Dinh, Hanoi sekali gus melayakkan diri ke aksi final dengan kemenangan agregat 5-4.

Dollah berkata, Harimau Malaya telah menunjukkan satu mutu permainan yang berbeza dan cukup baik pada saingan separuh akhir kedua menentang Vietnam, malam semalam.

"Sejujurnya, saya memang tidak menyangka skuad Harimau Malaya berjaya tampilkan satu corak permainan yang kemas dan bermain dengan begitu baik pada separuh masa pertama.

"Tahniah saya ucapkan kepada semua pemain yang telah menunaikan janji mereka kepada peminat bola sepak tanah air. Mereka telah buktikan keupayaan sebenar mereka," katanya kepada pemberita sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA), di Sepang hari ini.

Ditanya mengenai barisan kesebelasan utama skuad yang bakal turut serta pada perlawanan final pertama di Thailand pada 17 Disember ini, Dollah berkata beliau tidak pasti lagi dengan strategi yang bakal digunakannya.

Dollah berkata, berdasarkan kepada pemerhatiannya, pemain senior seperti Mohd Badri Mohd Radzi, Indra Putra Mahayuddin, Shukor Adan dan Safiq Rahim masih lagi berbisa dan menyumbang kepada kemenangan menentang Vietnam, malam tadi.

Beliau berkata, Mohd Badri ataupun lebih dikenali sebagai Piya, pertama kali diserap dalam skuad Harimau Malaya bagi menghadapi kempen Piala Suzuki AFF 2014 menunjukkan satu kesungguhan dan semangat berpasukan yang baik.

"Saya memang sentiasa membuat pertukaran pemain, kebetulan saya mahu cuba Piya. Ternyata ia berhasil dan itu adalah satu keputusan yang tepat. Piya, Safiq dan Indra berada di tengah dan mereka telah bermain dengan baik," katanya. - Bernama

Atlet negara turut bangga kejayaan Harimau Malaya

Posted: 12 Dec 2014 02:54 AM PST

KUALA LUMPUR - Atlet negara yang turut berkongsi kebanggaan kejayaan Harimau Malaya melangkah ke final Kejohanan Bola Sepak Piala AFF Suzuki 2014, berharap skuad itu dapat menggenggam piala itu untuk rakyat Malaysia.

Beberapa atlet negara yakin semangat juang skuad bimbingan Dollah Salleh itu mampu menjulang piala itu dengan sokongan padu dan doa rakyat Malaysia.

Ratu terjun negara, Pandelela Rinong berkata, kejayaan Malaysia itu disifatkan sebagai satu permulaan baharu untuk Harimau Malaya membuktikan kemampuan mereka untuk muncul kuasa bola sepak di rantau ini.

"Jangan menyerah sebelum kalah. Doa saya sentiasa mengiringi mereka untuk menggenggam piala pada perlawanan akan datang," katanya hari ini.

Pandelela turut meminta penyokong bola sepak negara tidak melakukan perbuatan yang boleh mencemarkan imej negara ketika ghairah memberikan sokongan di stadium.

"Teruslah hormat menghormati antara satu sama lain, jangan ada insiden yang boleh menggores nama Malaysia," katanya.  

Berkongsi harapan sama, jaguh berbasikal negara, Mohd Azizul Hasni Awang, yang sentiasa menyokong bola sepak negara, berharap semangat juang para pemain akan sentiasa membara demi mengharumkan nama Malaysia.

"Corak permainan Harimau Malaya begitu baik, mereka bermain di stadium lawan (malam tadi) tetapi ia tidak menggentarkan mereka, mereka dilihat bersemangat meskipun tewas pada perlawanan pertama di Shah Alam," katanya.

Malaysia layak ke final setelah menewaskan Vietnam dengan agregat 5-4 dan akan menentang Thailand dalam perlawanan akhir timbal balik pada 17 dan 20 Disember ini.

Mohd Azizul Hasni bagaimanapun berharap skuad itu tidak alpa dengan pujian sebaliknya  tetap fokus pada perlawanan akhir nanti.

Perenang wanita negara, Koo Chai Lin, yang turut mendoakan kejayaan Harimau Malaya itu, yakin seluruh rakyat Malaysia akan berdiri teguh menyokong kejayaan bola sepak negara.

Malaysia hanya sekali merangkul kejuaraan itu pada edisi 2010 apabila mengalahkan Indonesia dengan agregat 4-2. - Bernama

Safee kongsi detik kemenangan di Instagram

Posted: 12 Dec 2014 01:47 AM PST

  • Safee menggayakan ekspresi selepas pasukan Malaysia menewaskan Vietnam 4-2 semalam dalam perlawanan separuh akhir kedua Piala AFF Suzuki 2014 di Stadium Nasional My Dinh, Hanoi, Vietnam. Malaysia menang agregat 5-4 dan akan bertemu Thailand di perlawanan akhir.Safee menggayakan ekspresi selepas pasukan Malaysia menewaskan Vietnam 4-2 semalam dalam perlawanan separuh akhir kedua Piala AFF Suzuki 2014 di Stadium Nasional My Dinh, Hanoi, Vietnam. Malaysia menang agregat 5-4 dan akan bertemu Thailand di perlawanan akhir.

DETIK manis kemenangan Malaysia menentang Vietnam semalam bukan sahaja dirasai oleh seluruh peminat bola sepak tanah air malah turut dirasai ahli pasukan Harimau Malaya.

Penyerang Malaysia, Mohd Safee Mohd Sali atau Safee Sali sempat berkongsi detik gemilang itu menerusi entri terbarunya di Instagram.

Menurutnya, kemenangan semalam diperoleh bukan dengan hasil mudah, tetapi melalui perjuangan, pengorbanan serta komitmen yang tinggi oleh pemain.

"Syukur saya panjatkan kepada Illahi.. Alhamdulilah.. Semua pengorbanan berhasil dengan bangganya..

"Perjuangan ini bukan dengan hanya bermain guli tapi dengan semangat cintakan pasukan ini dan demi maruah negara," katanya seperti yang dipetik melalui entri Instagramnya.

Malaysia bakal berentap dengan Thailand pada aksi final Kejohanan Bola Sepak Piala AFF Suzuki 2014 selepas menang agregat 5-4 ke atas Vietnam pada aksi separuh akhir kedua di Stadium Nasional My Dinh, Hanoi, Vietnam, malam tadi.

 Skuad Harimau Malaya, yang kalah 2-1 pada aksi pertama di Stadium Shah Alam, Ahad lepas, bangkit dengan kemenangan bergaya 4-2 pada aksi timbal balik untuk mara ke final buat kali kedua selepas 2010.

Dalam pada itu Safee turut memuji semangat kesukanan positif  yang dipamer penyokong Vietnam.

"Peminat Vietnam bagus sekali.. walaupun kalah tak ada bertumbuk malah tepuk tangan dekat kami lagi," katanya.

Kebangkitan luar biasa

Posted: 11 Dec 2014 09:41 PM PST

ITU sahaja ungkapan boleh diungkapkan selepas melihat kebangkitan luar biasa dipamerkan skuad Harimau Malaya yang membenam cabaran  Vietnam 4-2 separuh akhir kedua Piala AFF Suzuki 2014 di Stadium My Dinh, Hanoi, malam tadi sekali gus mara ke pentas final dengan agregat 5-4.

Walaupun tewas 1-2 di Shah Alam  di samping dengan insiden  peminat Vietnam diserang segelintir penyokong Malaysia, nyata tidak menjejaskan fokus untuk melakar kemenangan menakjubkan di depan penyokong tuan rumah.

Rombakan formasi dilakukan Dollah Salleh menjadi apabila empat jaringan diledakkan anak buahnya pada babak pertama sekali gus mendiamkan hampir kira-kira 40,000 peminat setia The Gold Stars.

Safiq Rahim membuka tirai jaringan menerusi sepakan penalti seawal minit ketiga sebelum Norshahrul Idlan Talaha memadamkan kelebihan jaringan tempat lawan Vietnam m-22.

Namun, kem negara cemas seketika apabila Le Cong Vinh menyempurnakan sepakan penalti m-22 apabila pemain Malaysia mengasari pemain tuan rumah.

Serangan balas berterusan Malaysia menghasilkan gol ketiga hasil jaringan sendiri Dinh Tien Thanh m-28 sebelum Shukor Adan mengukuhkan kedudukan agregat menjadikan 4-1.

Memasuki babak kedua, permainan pasukan negara agak berbeza dan mula mengendurkan asakan serta tidak banyak serangan
dilancarkan ke kubu lawan sebaliknya pemain Vietnam yang banyak mencipta peluang menghasilkan jaringan.

Namun, ketangkasan penjaga gawang, Farizal Marlias banyak menafikan sejumlah percubaan berbahaya pasukan mengelak daripada dibolosi.

Kealpaan benteng pertahanan Malaysia sekali lagi dihukum apabila Cong Vinh meledak gol kedua Vietnam m-79.

Sementara itu, Dollah menyifatkan kehadiran semula Amri Yahyah dan Shukor banyak mengubah struktur permainan pasukan Malaysia.

"Kita menang harapkan kehadiran Amri dan Shukor. Shukor banyak main peranan dan boleh menyusun bahagian pertahanan.

"Dia juga sentiasa arahkan pemain sentiasa bangkit. Pada separuh masa pertama, kita tidak mensia-siakan peluang. Kita dapat empat peluang dan semuanya dimanfaatkan dengan gol.

"Separuh masa kedua, kita berada dalam kedudukan selesa dan pemain kita takut menyerang sebaliknya kita bertahan.

"Jika pemain mengekalkan disiplin sama ada seperti hari ini, saya percaya kita tiada masalah untuk berdepan Thailand di final.

"Kita sudah berada di hujung dan semestinya mahukan piala," katanya kepada pemberita selepas perlawanan.

Bagi rekod, ini final kali ketiga dilakar Harimau Malaya selepas melakukannya kali pertama pada 1996 di Singapura diikuti muncul juara pada edisi 2010.

STL cari lebih ramai pemain sepak takraw berbakat

Posted: 11 Dec 2014 05:13 PM PST

  • Jamaluddin HassanJamaluddin Hassan

BEKAS jurulatih skuad sepak takraw kebangsaan, Jamaluddin Hassan berharap lebih ramai pemain akan mengambil bahagian saingan Sepak Takraw League (STL) di Johor bermula esok.

Jamaluddin yang mengetuai panel pemantau dilantik Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) untuk menyenaraikan pendek seramai 150 pemain berbakat dari STL tahun ini bagi diserap ke draf Liga Franchise 2015 berkata,  mereka memerlukan kelompok pemain yang lebih besar agar sasaran mencari 150 pemain dapat dicapai.

"Kita mendapat lebih 100 pemain selepas hanya empat pusingan, itu cukup menggalakkan tetapi setelah tapisan jumlahnya jadi lebih kecil.

"Sebagai contoh, ada pasukan menghantar lebih dari tiga atau empat regu, pemain dari regu yang tewas pada pusingan ini, akan didaftar mewakili regu lain pada pusingan seterusnya. Ini tidak menjadi kesalahan, tetapi ia mengecilkan pilihan pemain yang ada," katanya gembira sambutan hangat diberikan pasukan bertanding.

STL diperkenalkan julang kali bertujuan merevolusikan arena sepak takraw tempatan dilancarkan secara rasminya Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin pada 7 November lalu.

Ia akan berlangsung sebanyak lapan pusingan awal dan kemuncaknya adalah pusingan Grand Finals Januari depan, dengan juara setiap pusingan bersama-sama lapan pasukan yang layak dari pusingan play-off berentap untuk menentukan kejuaraan.

0 ulasan:

Catat Ulasan