Isnin, 1 September 2014

9/01/2014 02:10:00 PG

Harimau Muda U-16 juara Piala Juara-juara Asia


Harimau Muda U-16 juara Piala Juara-juara Asia

Posted: 31 Aug 2014 08:14 AM PDT

SKUAD Harimau Muda bawah 16 tahun muncul juara Piala Juara-Juara Asia 2014 selepas menundukkan PVF Vietnam dengan agregat 5-4 di Stadium Frenz Janda Baik, malam ini.

Skuad bimbingan S. Balachandran itu menerima tentangan sengit pihak lawan apabila seri 3-3 pada perlawanan final timbal balik yang memihak kepada skuad negara.

Pada perlawanan pertama di Ho Chi Minh, Vietnam, skuad negara  menang 2-1.    

Pasukan pelawat terlebih dahulu membuka jaringan menerusi Ho Minh Di pada minit ke-11 kemudian pemain negara M.Kogileswaran menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-40.

Malaysia mendahului 2-1 pada separuh masa hasil jaringan kapten pasukan Muhammad Sharul Akmal Md Adnan pada minit ke-45.

Bersambung babak kedua, Nguyen Dinh Bao kembali menyamakan kedudukan dengan gol kedua buat pasukan Vietnam pada minit ke-55. 

Pemain negara Muhammad Najmuddin Samat menambah jaringan ketiga buat pasukan pada minit ke-82 namun dua minit kemudian pemain Vietnam, Bui Tien Dung menyamakan kedudukan 3-3.

Selaku juara, skuad negara menerima USD$50,000 (RM157,697), naib juara Vietnam USD$25,000 (RM78,849). - Bernama

Penyertaan Harimau Muda A dikaji semula

Posted: 31 Aug 2014 06:32 AM PDT

  • National Premier League

PENYERTAAN  skuad Harimau Muda A dalam National Premier League (NPL) Queensland, Australia akan dikaji semula, kata Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah.

Tengku Mahkota Pahang itu menegaskan bahawa pemilihan NPL Queensland telah diputuskan sebelum beliau mengambil alih tampuk pimpinan daripada presiden terdahulu, Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah.

"Keputusan dibuat sebelum saya menjadi Presiden (FAM). Kami akan kaji semula penglibatan Harimau Muda A ke Australia dan jika ada alternatif lain, lagi bagus.

"Keutamaannya ialah mahu mendedahkan pemain seawal dan sebaik mungkin dengan beraksi di luar negara," katanya pada sidang akhbar di akhir Kongres Persekutuan Hoki Asia (AHF) di Kuala Lumpur hari ini.

Beliau berkata persepsi peminat tentang kualiti sesuatu liga adalah perkara subjektif namun mengakui penyertaan skuad Harimau Muda A dalam liga luar negara penting terutama dari segi penyediaan satu pasukan yang kompetetif.

Media tempatan baru-baru ini melaporkan Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) Tunku Ismail Idris Sultan Ibrahim berkata penyertaan skuad bawah 23 tahun negara (B-23) di Queensland tidak berbaloi. - Bernama

Pemain luar tonggak kekuatan pasukan

Posted: 31 Aug 2014 12:02 AM PDT

  • Robert AlbertsRobert Alberts

PASUKAN yang bercita-cita menjuarai kejohanan Piala Malaysia perlu menggunakan sebanyak mungkin pemain luar, di samping sedikit nasib yang menyebelahi mereka, kata ketua jurulatih Sarawak Robert Alberts.
    
Jurulatih dari Belanda itu berkata demikian bagi mengulas pencapaian lemah pasukannya musim ini kerana tidak dapat menggunakan sepenuhnya khidmat kesemua empat pemain importnya apabila penyerang dari Bosnia-Herzegovina Muamer Salibasic dan pemain Lubnan Hassan El Mohamed, mengalami kecederaan.
    
Musim lepas, Sarawak mara hingga ke separuh akhir kejohanan Piala Malaysia, tetapi musim ini ia menduduki tangga paling bawah dalam Kumpulan B setelah seri 1-1 dengan Perak malam tadi.
    
"Kami kehilangan khidmat Muamer sejak bermulanya musim ini lagi. Dia menjadi pemangkin bagi pasukan dari bilik enjin, yang menghantar bola kepada penyerang," katanya.
    
Alberts berkata beliau tidak menggantikan Muamer ketika pintu perpindahan dibuka kerana doktor memberi jaminan pemain itu akaa dapat beraksi kembali.
 
"Kalaulah kami ada pemain berkaliber seprti Muamer dan Gabor (Gypes) serta Ryan (Griffiths), tentu kami mencatat prestasi lebih baik dalam kejohanan Piala Malaysia musim ini," katanya.
    
Menurut beliau pasukan Sarawak kehilangan daya sambungan kerana tiada pemain tempatan yang mampu menghantar bola seperti Muamer kepada penyerang untuk membuat jaringan.
    
Mengenai keputusan seri dengan Perak, Alberts berkata keputusan itu tidak sepatutnya berlaku.
    
"Saya rasa kami sepatutnya menang perlawanan itu kerana kami menguasai permainan dan mendapat beberapa peluang baik untuk menjaringkan gol, tapi pemain kami tidak memanfaatkannya," kata Alberts.
    
Beliau berkata demikian bagi merujuk kepada dua peluang keemasan yang terlepas begitu sahaja apabila rembatan Akhmal Rizan dan Lot Ali Hassan di depan pintu gol Perak yang ternganga luas, tersasar.
    
Ditanya sama ada gol jaringan Perak pada minit ke-17 merupakan hasil daripada 'off-side', Alberts berkata: "Kalau mengikut video, begitulah, tapi dari sudut lain, mungkin bukan off-side, itupun kalaulah penjaga garisan berada di kedudukan sepatutnya."
    
Alberts bagaimanapun berkata gol penyamaan itu mengecewakan pemain Sarawak kerana bantahan mereka tidak dipedulikan pengadil. - Bernama

Usah dabik dada lagi

Posted: 30 Aug 2014 09:35 PM PDT

  • Felda United

BOLEH gembira tapi usah mendabik dada lagi! Itulah nasihat penyerang Felda United, Indra Putra Mahayuddin berhubung kejayaan pasukannya yang mengesahkan tiket ke saingan suku akhir Piala Malaysia selepas menyudahkan perlawanan kelima peringkat kumpulan, kelmarin, lapor NOOR HAFIZA CHE ABDULLAH.

Dalam saingan Kumpulan A itu, naib juara Piala FA 2014 berjaya mengalahkan Johor Darul Ta'zim II (JDT II) 3-1 di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang sekali gus membolehkan mereka menduduki tangga teratas dengan 10 mata dengan baki satu perlawanan.

Menurut Indra, walaupun masih segar dengan kejayaan itu, perasaan untuk mendabik dada tidak boleh wujud dalam pemikiran skuad The Fighters.

Menurut firasat bekas penyerang Kelantan itu, walaupun sasaran juga sudah tercapai, tetapi beliau menganggap misi skuad bimbingan Irfan Bakti Abu Salim itu masih belum selesai.
"Kejayaan ke suku akhir memang sesuatu yang manis kerana kita berjaya melepasi sasaran yang telah ditetapkan.

"Namun, semua itu bukan bermakna kita boleh leka dan diulit  mimpi. Kita harus ingat, perjuangan harus diteruskan dan selagi saingan belum berakhir, selagi itulah perjalanan Felda dalam Piala Malaysia belum selesai," katanya kepada Sinar Harian.

Bagaimanapun pemain berusia 32 tahun itu, mengakui The Fighters kini sudah memasang impian lebih tinggi iaitu mahu pergi jauh daripada sekadar melepasi saingan kumpulan semata-mata dan berasakan tidak mustahil mereka mampu mencabar kejuaraan Piala Malaysia.

"Selepas ke suku akhir, saya tidak nafikan lonjakan keyakinan dalam kalangan pemain semakin meningkat dan kami mahu habiskan perjuangan pada musim ini dengan satu perkara yang boleh dibanggakan.

"Menduduki tangga kedua Liga Perdana dan menjadi naib juara Piala FA, meningkatkan azam kami untuk memburu sekurang-kurangnya satu trofi dengan Piala Malaysia menjadi sasaran realistik," katanya yang bertekad untuk mencipta kejutan dalam  kejohanan tersebut.

Zainal kecewa serangan tumpul

Posted: 30 Aug 2014 09:33 PM PDT

  • Penyerang Pahang, Azammuddin Mohd Akil (kiri) dihalang pemain Lions XII, Muhd Safuwan Baharudin pada aksi perlawanan Piala Malaysia di Stadium Darul Makmur, kelmarin.Penyerang Pahang, Azammuddin Mohd Akil (kiri) dihalang pemain Lions XII, Muhd Safuwan Baharudin pada aksi perlawanan Piala Malaysia di Stadium Darul Makmur, kelmarin.

PENGENDALI Pahang, Zainal Abidin Hassan mahukan jentera serangan pasukan itu terus dipertajam dalam misi mempertahankan gelaran juara Piala Malaysia musim ini, lapor ROSILAWATI ROSEDI.

Selepas dirundung malang tewas tipis 1-2 di tangan Lions XII di Stadium Darul Makmur di sini kelmarin, Zainal pastinya begitu kecewa dengan kegagalan anak buahnya mengekalkan momentum kemenangan.

Menurutnya, prestasi pemainnya sedikit menghampakan kerana gagal beraksi cemerlang seperti perlawanan Selasa lalu.

Baginya, kekalahan itu amat dirasai selepas Pahang terlebih dulu mendahului pelawat 1-0 pada babak pertama sebelum lawan bangkit menjaringkan dua gol pada separuh masa kedua perlawanan.

"Saya akui jentera serangan begitu tumpul walaupun deretan peluang dimiliki Pahang terutama daripada Mohd Fauzi Rozlan dan Dickson Nwakaeme.

"Oleh itu, saya harap pemain perlu mempamerkan persembahan lebih baik jika mahu mempertahankan kejuaraan," katanya semalam.

Namun kegagalan meraih tiga mata penuh masih memberikan peluang buat Pahang menempah slot ke suku akhir lebih awal selepas berada ditangga kedua Kumpulan A dengan sembilan mata di belakang pendahulu, Felda United yang lebih satu mata walaupun berbaki satu lagi perlawanan.

Sementara itu, jurulatih Lions XII, Fandi Ahmad tetap gembira walaupun gagal ke pusingan kalah mati itu.

Menurutnya, anak-anak buahnya tidak berputus asa dan masih bersemangat tinggi mencari kemenangan walaupun sekadar mencatat dua seri dan satu kekalahan sebelum ini.

"Walaupun ketinggalan 0-1, pemain tetap berusaha mencari gol sekali gus meraih kemenangan pertama dalam peringkat kumpulan ini. Saya harap mereka tetap mempamerkan aksi terbaik dalam perlawanan terakhir selepas ini," katanya.

Boateng lega Kelantan mara

Posted: 30 Aug 2014 09:30 PM PDT

PENGENDALI The Red Warriors, George Boateng menarik nafas lega apabila misinya membawa pasukannya mara ke saingan suku akhir tercapai pada kempen Piala Malaysia, musim ini.

Boateng berkata, kemenangan 3-1 ke atas Pulau Pinang pada aksi kelima peringkat Kumpulan C di Stadium Bandaraya, Georgetown, malam kelmarin, cukup bermakna setelah skuad kendaliannya dihimpit pelbagai tekanan termasuk berdepan penyingkiran, sebelum ini.  

"Kami telah melaksanakan tugas pada peringkat kumpulan dengan baik untuk layak ke suku akhir. Tetapi pada hakikatnya, ia bukanlah satu perkara yang mudah, lebih-lebih lagi kami berada dalam kumpulan sukar pada musim ini.

"Pertemuan malam ini juga bukan senang, tetapi saya fikir kami lebih berhak keluar sebagai pemenang. Saya gembira kerana pemain tidak lagi mensia-siakan peluang yang mereka cipta pada perlawanan ini," katanya kepada pemberita selepas perlawanan, malam kelmarin.

Pemain tengah, Wan Zaharulnizam Wan Zakaria meletakkan Kelantan di depan pada minit ke-35 tetapi bintang import Pulau Pinang, Luis Ricardo menyamakan kedudukan dua minit babak kedua bersambung.

Jaringan Mohd Khairul Izuan Rosli dan Francis Forkey Doe pada minit ke-61 dan 83 bagaimanapun memastikan pasukannya mara ke suku akhir buat kali keenam berturut-turut dalam tempoh enam tahun.

Menurut jurulatih kelahiran Ghana itu, beliau meletakkan sasaran mahu membawa pasukannya mara sejauh mungkin pada kempen kali ini dan tidak kisah berdepan dengan mana-mana pasukan pada pertemuan suku akhir itu nanti.

"Sejarah beritahu kami, sejak dua tahun lalu, pasukan yang layak (ke suku akhir) bersama Kelantan dalam kumpulan yang sama berjaya masuk ke perlawanan akhir. Jadi, saya berharap kami boleh melakukannya sekali lagi pada tahun ini.

"Kami harus memulakan usaha ke arah itu daripada sekarang. Saya memandang serius perkara ini dan kami akan melakukan persiapan rapi bagi memastikan Kelantan cukup bersedia menghadapi perlawanan suku akhir nanti," katanya.

Sementara itu, jurulatih berusia 39 tahun itu, turut menghamburkan pujian kepada barisan pemain tempatan yang menyumbang kepada kejayaan pasukannya berikutan beliau hanya mampu menggunakan dua tenaga import pada beberapa perlawanan sebelum ini.

"Anda lihat semua pasukan dalam kempen kali ini menggunakan empat pemain import tetapi kami hanya menurunkan seorang sahaja, kadangkala dua, selebihnya pemain tempatan. Saya perlu memberi penghargaan tertinggi kerana Kelantan mungkin tidak akan layak tanpa sumbangan mereka," katanya.

0 ulasan:

Catat Ulasan