Ahad, 31 Ogos 2014

8/31/2014 02:39:00 PG

Selangkah bergelar juara


Selangkah bergelar juara

Posted: 29 Aug 2014 10:21 PM PDT

SKUAD Harimau Muda B16 kini  selangkah bergelar juara buat julung kalinya  Piala Juara-Juara Asia B16 selepas menang 2-1 menewaskan PVF Vietnam pada aksi pertama pentas akhir, di Stadium Thong Nhat, Isnin lalu.

Gol  di setiap babak dijaringkan M Kogileswaran pada minit 40 yang menyempurnakan sepakan penalti dan penyudahan sempurna Muhammad Najimuddin Samat (m-74)  memberikan bekalan selesa buat anak didik S Balachandran untuk aksi kedua di Stadium Janda Baik, malam esok.

ASET MUDA

Tumpuan pastinya terarah kepada peledak berbisa Harimau Muda B16, Najimuddin dilihat duri dalam daging lawan apabila berjaya mengucar-ngacirkan pertahanan tuan rumah.

Keserasian gandingannya bersama M Kogileswaran nyata memberi kesan kepada persembahan pasukan terutamanya melalui hantaran pendek.

Pernah tewas di tempat lawan pada aksi peringkat kumpulan namun membalas kembali kekalahan tersebut pada pusingan kedua di laman sendiri sebelum ini aksi malam esok seharusnya tidak memberikan tekanan buat anak didik S Balachandran.

Dua gol jaringan di tempat lawan pastinya begitu berharga bagi memburu kejuaraan sulung menjulang Piala Juara-Juara Asia B16.

PERLU KONSISTEN

Bagi S Balachandran pujian harus dilemparkan kepada barisan pemainnya ketika menundukkan PVF Vietnam di Ho Chi Minh dan merasakan tiada sebab untuk pasukannya gagal di dalam misi menjulang Trofi Juara-Juara Asia FAM-Frenz 2014 seandainya watak sama
ditunjukkan pada aksi timbal balik di Janda Baik.

"Apa yang menggembirakan saya pada perlawanan ini adalah bagaimana pemain  menunjukkan disiplin yang baik ketika bertahan, menjalankan tanggungjawab seperti diarahkan dengan mengunci pergerakan ayam tambatan mereka Vu Tin (Nguyen).

" Kita berdepan sedikit kesukaran memandangkan padang basah dan licin namun kesemua pemain menunjukkan karakter untuk bergelar juara.

"Walaupun pada awalnya kita tidak meletakkan sasaran tinggi di kejohanan ini dan lebih kepada pendedahan buat pemain, kini kita hanya selangkah sahaja lagi untuk bergelar juara.

"Saya sedar bekalan dimiliki belum selamat, tetapi jika disiplin dan karakter sama dapat ditonjolkan tidak mustahil kita akan menjuarai pertandingan ini," ujarnya.

GOL AWAL

Mengulas persediaan aksi kedua perlawanan akhir malam esok, S Balachandran menjelaskan pasukannya tidak akan  bertahan dengan keputusan itu sebaliknya mencari tambahan jaringan untuk mengesahkan kemenangan mutlak.

"Prinsip saya adalah sama, bermain secara menyerang bukannya defensif, lawan terbukti pasukan yang boleh menyerang dan bertahan dengan baik, mereka kini dalam tekanan jadi kita perlu bersedia menghadapi kebangkitan mereka pada aksi kedua. "Kita perlu mematikan kebangkitan mereka secepat yang boleh dan salah satu caranya adalah dengan menjaringkan gol awal." katanya.

SDFC sedia baham The Titans

Posted: 29 Aug 2014 10:07 PM PDT

TEWAS tiga perlawanan berturut-turut pastinya satu keputusan yang mengecewakan apatah lagi dengan reputasi Sime Darby FC yang dilihat mampu pergi jauh berdasarkan prestasi dalam saingan Liga Super.

Tumbang pada aksi pertama 0-3 kepada PDRM, T-Team (1-2) dan Selangor (0-2) cukup menggambarkan betapa laluan berliku harus dilalui anak didik Ismail Zakaria jika ingin melangkah lebih jauh.

Berada di tangga tercorot Kumpulan D tanpa sebarang mata, akhirnya kemenangan sulung berjaya dicapai dengan menjadikan Red Giants mangsa pertama.

BERI TEKANAN

Dikecewakan 0-2 di Stadium Selayang minggu lalu, kebangkitan barisan pemain berstatus kelab ini sebenarnya di luar jangkaan terutamanya berdepan Selangor yang dilihat pasukan pilihan mengiringi PDRM ke pusingan suku akhir.

Namun inilah dikatakan bola sepak, segalanya boleh berlaku ketika dalam permainan apabila pasukan yang diberi jolokan Pembunuh Gergasi mempamerkan taring bangkit menewaskan lawan di Stadium Shah Alam, Rabu lalu.

Ketinggalan 0-1 hasil jaringan Hazwan Bakri tidak mematahkan semangat malah pemain beraksi lebih baik dan berjaya menyamakan kedudukan hasil jaringan pemain gantian, Fahrul Razi Kamaruddin minit ke-75.

Usaha berterusan dan tekanan menyaksikan penjaga gawang Selangor, Farizal Marlias mengutip bola dalam gawang sendiri buat kali kedua selepas tertewas menerusi tandukan Mateo Roskam yang memanfaatkan hantaran Juzaili Samion pada minit ke-82 dan keputusan itu kekal sehingga tamat perlawanan.

TERUS BELAJAR

Bagi Ismail, kemenangan tersebut dianggap sebagai penyelamat maruah pasukan yang menduduki tangga kelima Liga Super musim lalu.

"Sime Darby berada pada tangga kelima dalam Liga Super, jadi agak memalukan jika kita tidak kutip sebarang mata dalam perlawanan kali ini.

"Nasib tidak menyebelahi pasukan pada tiga perlawanan sebelum ini walaupun pemain beraksi mengikur perancangan kita. Kita belajar dari pengalaman, walaupun ketinggalan namun semangat juang pemain bangkit menyamakan kedudukan begitu manis dan berjaya memenangi perlawanan umpama penyelamat maruah pasukan yang membuka peluang untuk mengintai peluang ke kelompok 16 terbaik," katanya.

TETAP SEIMBANG

Ujarnya, tiada jalan lain melainkan enam mata penuh perlu dikutip jika ingin melangkah ke pusingan seterusnya.

"Malam ini kita akan melayan kunjungan T-Team di Selayang sebelum melabuhkan saingan peringkat kumpulan menentang The Cops yang telah menewaskan SDFC 3-0 pada aksi sulung pusingan pertama peringkat kumpulan.

"Perbezaan mata dengan Selangor yang berada di tangga kedua tidak terlalu jauh, perlu diingat mereka akan bertemu PDRM dan SDFC berkongsi tiga mata dengan T-Team.

"Pemain berada dalam keadaan baik dan tidak mengalami kecederaan, terus fokus dan berjuang habis-habisan merebut tiga mata dalam perlawanan nanti," jelasnya.

Gergasi rebah

Posted: 29 Aug 2014 10:00 PM PDT

  • Pergerakan pemain lincah Red Giants, Andik Vermansyah dihalang pemain lawan.Pergerakan pemain lincah Red Giants, Andik Vermansyah dihalang pemain lawan.

RENTAK kemenangan dicapai pada aksi pusingan pertama peringkat kumpulan gagal diteruskan barisan pemain Merah Kuning selepas di kecewakan Sime Darby FC, 1- 2 Rabu lalu.

Menang 2-0 pada aksi sebelumnya, hasil jaringan Paulo Rangel dan Hazwan Bakri, anak didik Mehmet Durakovic gagal mengulangi untuk memastikan jaminan selesa di peringkat seterusnya walaupun mendahului lawan.

Kini laluan Juara Piala Malaysia 32 kali ini dilihat sedikit berliku menjelang pertemuan malam nanti menentang Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang sudah pun mengesahkan slot di pusingan seterusnya.

GAGAL REBUT

Aksi tidak konsisten lawan yang belum mencatat sebarang kemenangan pada kempen kali ini seharusnya digunakan Selangor yang dilihat berpeluang mengutip tiga mata penuh.

Turun dengan barisan terkuat, tuan rumah mempunyai beberapa peluang terhidang yang gagal diterjemahkan dengan jaringan gol seharusnya menjadi pengajaran.

Paulo Rangel dan Shahrom Abd Kalam antara pemain berpeluang meletakkan tuan rumah di hadapan namun sebaliknya berlaku.

Namun kerja keras pemain Selangor akhirnya membuahkan hasil apabila Ahmad Hazwan tenang menewaskan Mohd Sufian selepas tidak dikawal pertahanan lawan.

Kegembiraan itu tidak bertahan lama apabila pemain gantian, Fahrul Razi Kamaruddin meledak jaringan penyamaan pada minit ke-75 untuk mengejutkan tuan rumah.

Tekanan berterusan menyaksikan Farizal sekali lagi tertewas menerusi tandukan Mateo Roskam yang memanfaatkan hantaran Juzaili Samion pada minit ke-82 dan keputusan itu kekal sehingga tamat perlawanan.

PERLU LALUI

Kekalahan itu menyaksikan Selangor kekal enam mata dengan PDRM sudah mengesahkan tiket ke suku akhir daripada Kumpulan D selepas menewaskan T-Team, 2-1 di Kuala Terengganu untuk mengumpul mata maksimum 12 mata.

Berbaki dua perlawanan, Selangor kini bersaing dengan T-Team dan Sime Darby yang masing-masing mengumpul tiga mata bagi merebut tiket terakhir ke pusingan seterusnya.

Sime Darby yang gah menamatkan saingan Liga Super di kedudukan kelima meraih kemenangan pertama selepas empat perlawanan sekali gus menghidupkan peluang ke suku akhir.

The Cops lepasi sekatan

Posted: 29 Aug 2014 09:54 PM PDT

  • V Thirumurugan (tengah) beraksi cemerlang apabila berjaya mengekang kemaraan RamzulV Thirumurugan (tengah) beraksi cemerlang apabila berjaya mengekang kemaraan Ramzul

THE Cops membuktikan reputasi dimiliki selepas layak ke pusingan suku akhir Piala Malaysia dengan kemenangan 2-1 ke atas T-Team di tempat lawan, Rabu lalu.

Lebih membanggakan anak didik Azman Adnan pasukan terawal mengesahkan kemaraan berbanding pasukan pilihan yang lain.

Hanya memerlukan keputusan seri selepas menang tiga perlawanan sebelum ini, ledakan dua gol penyerang prolifik, Ali Ashaq membuktikan kehadiran pasukan yang kali terakhir beraksi di pentas Piala Malaysia 2011 ini perlu diberikan perhatian.

SERBA LENGKAP

Mengumpul mata penuh dari empat perlawanan bukti kesungguhan barisan pemain untuk melakar kejayaan dalam saingan kali ini.

Watak Ali Ashaq selaku penggempur prolifik sememangnya tidak dapat dinafikan selain keberkesanan gandingan bersama Bobby Gonzales antara faktor utama kejayaan The Cops.

Kehadiran pemain tempatan dan bekas pemain kebangsaan seperti Helmi Eliza, Sabree Mat Abu, Muslim Ahmad, V Thirumurugan semakin berbisa setiap kali beraksi.

Memiliki Rafael Souza di bahagian benteng dan peledak, Charlez Souza Chad serta Mohamadou Sumareh, The Cops kini sedang berada dalam potensi untuk melakar kejayaan.

PERCATURAN BAHARU

Berdepan Selangor malam ini di Stadium Paroi, sebarang keputusan tidak memberi kesan kepada kemaraan The Cops namun rekod cemerlang tanpa sebarang kekalahan perlulah dipertahankan.

Menewaskan Red Giants, 2-0 pada aksi pusingan pertama 20 Ogos lalu, pastinya Azman mahu kecemerlangan pasukan diteruskan walaupun menyedari mereka telah layak.

Sama ada merehatkan pemain utama untuk mengelakkan sebarang kecederaan atau mencuba pelbagai variasi permainan semua ini terletak kepada bekas pemain kebangsaan dan Selangor itu yang mengambil alih jawatan dari Dollah Salleh.

Pastinya tentangan sengit bakal dijelmakan Selangor kerana hanya tiga mata dicapai mampu mencerahkan peluang ke pusingan seterusnya memandangkan T-Team dan SDFC turut berpeluang mengiringi PDRM untuk aksi 16 pasukan terbaik.
 

Milan dapat Torres?

Posted: 29 Aug 2014 09:48 PM PDT

  • TorresTorres

PENYERANG Chelsea, Fernando Torres dikhabarkan sudah mempersetujui kontrak dua tahun bersama kelab Itali, AC Milan.

Ejen Torres dilaporkan sudah bertemu dengan pemilik Milan dan portal berita Milan News melaporkan perbincangan itu berjalan dengan lancar.

Sebelum ini, muncul khabar angin mengatakan Torres akan dipinjamkan ke Milan namun kini situasi itu sudah berubah.

Torres kini dilaporkan sedang berusaha untuk mendapatkan pelepasan dari The Blues untuk terbang ke Milan.

Kecewa dengan Di Maria

Posted: 29 Aug 2014 09:42 PM PDT

  • Ronaldo (kanan) kecewa dengan keputusan Di Maria meninggalkan Real MadridRonaldo (kanan) kecewa dengan keputusan Di Maria meninggalkan Real Madrid

PEMAIN terbaik dunia, Cristiano Ronaldo ternyata kecewa dengan Angel Di Maria yang mengambil keputusan meninggalkan Real Madrid.

Katanya, sebelum ini dia mengharapkan pemain Argentina itu kekal lama di Santiago Bernabeu, sama seperti Xabi Alonso yang kini menyarung jersi Bayern Munich.

"Secara peribadi, saya kecewa dengan keputusan Di Maria kerana kami merupakan rakan baik.

"Dia merupakan pemain penting pasukan sama seperti Xabi tetapi situasi inilah yang perlu kami hadapi. Pemain akan datang dan pergi," katanya.

Bagaimanapun, Ronaldo menjelaskan keputusan Di Maria menyertai Manchester United adalah tepat kerana The Red Devils merupakan salah satu kelab terbaik di dunia.

"Perpindahan ini bagus buat dirinya kerana United bukan calang-calang pasukan.

"Perpindahan itu juga akan memberikan kesan yang positif dalam karier bola sepaknya dan saya doakan dia agar sentiasa berjaya," katanya.

0 ulasan:

Catat Ulasan