Sabtu, 31 Mei 2014

5/31/2014 12:37:00 PTG

Dua pemuda Orang Asli maut motosikal dilanggar ketika buat pusingan U


Dua pemuda Orang Asli maut motosikal dilanggar ketika buat pusingan U

Posted:

Dua pemuda Orang Asli maut motosikal dilanggar ketika buat pusingan U

31/05/2014 12:25pm

KUANTAN - Dua pemuda Orang Asli maut selepas motosikal yang ditunggangi dilanggar sebuah kenderaan pacuan empat roda ketika membuat pusinngan U di Kilometer 54, Jalan Nenasi-Rompin dekat Pekan awal hari ini.

Dalam kejadian 12.45 tengah malam itu, Zamri a/l Siatek, 27, terbunuh di tempat kejadian akibat kecederaan parah manakala rakannya Azahar a/l Lamat, 18, meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Rompin.

Kedua-dua mangsa tinggal di Kampung Jong, di Pekan.

Ketua Polis Daerah Pekan, Superintendan Yahaya Othman berkata, kenderaan pacuan empat roda dari arah Pekan menuju ke Rompin itu dikatakan melanggar motosikal yang ditunggangi mangsa yang secara tiba-tiba membuat pusingan U di tempat kejadian.

Tambahnya, pemandu berusia 43 tahun itu tidak mengalami sebarang kecederaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. - Bernama

Warga emas maut terhidu asap dalam kebakaran

Posted:

Warga emas maut terhidu asap dalam kebakaran

31/05/2014 11:44am


ANGGOTA bomba mengusung mayat Soon Tian yang maut dalam kebakaran di rumahnya di Ambang Botanic 2, Klang di sini hari ini. - KOSMO!


KLANG - Seorang lelaki warga emas maut selepas terhidu asap tebal akibat kebakaran di bilik tidurnya di Ambang Botanic 2, di sini pagi tadi.

Kejadian disedari oleh pengawal keselamatan rumah teres dua tingkat itu kira-kira pukul 7.06 pagi.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Mohd. Sani Harul ketika dihubungi berkata, kejadian dipercayai berlaku pukul 6.45 pagi dan pihaknya yang menerima panggilan pukul 7.06 pagi bergegas ke lokasi kejadian.

"Ketika kejadian, tiga orang mangsa berada di rumah dan mangsa, Yap Soon Tian, 75, yang tidur di bilik bawah tidak berjaya menyelamatkan diri.

"Dua lagi mangsa iaitu anak Soon Tian yang juga pemilik rumah berkenaan, Yap Chee Keong, 46, serta cucu Soon Tian, 12 tahun berjaya keluar dan tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah di sini untuk bedah siasat dan siasatan lanjut mengenai punca kejadian masih dijalankan. - KOSMO!

PRK Teluk Intan: Sejumlah 22.95 peratus keluar mengundi sehingga pukul 10 pagi ini

Posted:

PRK Teluk Intan: Sejumlah 22.95 peratus keluar mengundi sehingga pukul 10 pagi ini

31/05/2014 11:22am

TELUK INTAN - Sejumlah 22.95 peratus atau 13,754 pengundi telah keluar mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Teluk Intan sehingga pukul 10 pagi ini, menurut kenyataan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Cuaca cerah pagi ini membolehkan pengundi menunaikan tanggungjawab mereka seawal pukul 8 pagi.

Calon Barisan Nasional (BN), Datuk Mah Siew Keong dan isteri, Datin Yeoh Pooi Hoon mengundi di Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Abdul Aziz pada pukul 9.10 pagi.

Tinjauan Bernama mendapati pengundi warga emas turut dibantu petugas SPR dengan kerusi roda untuk masuk ke pusat pengundian.

Peraih undi kedua-dua calon juga kelihatan berada 50 meter dari pusat pengundian. - Bernama

Wanita warga China yang diculik di Sabah dihantar pulang hari ini

Posted:

Wanita warga China yang diculik di Sabah dihantar pulang hari ini

31/05/2014 11:16am

SEPANG - Wanita warganegara China, Gao Hua Yuan yang berjaya diselamatkan pihak berkuasa negara selepas diculik sekumpulan tujuh lelaki bersenjata pada 2 April lepas akan dihantar pulang ke negara asalnya hari ini.

Tanpa mendedahkan masa perlepasan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, Gao, 29, terlebih dahulu dibawa dari Sabah sebelum berlepas ke China.

Kerajaan Malaysia sedang mengatur perjalanan Gao dengan selamat untuk bertemu keluarga yang menunggu kepulangannya sejak awal April lalu.

Tambahnya, warga Filipina, Marcy Dayawan, 40, yang diculik bersama Gao dalam kejadian itu juga akan dihantar segera ke negara asalnya.

Ditanya sama ada pihak media diberi peluang bertemu Gao untuk mendapatkan berita tentang pengalaman pahit yang dilaluinya, Khalid berkata, wanita itu tidak harus diberi tekanan.

"Saya rasa dia pun tak mahu. Jangan ganggu dia. Dia pun dah lama dalam tekanan. Biarlah dia berjumpa dengan keluarga dahulu," katanya kepada pemberita di KLIA di sini sebelum berlepas ke London hari ini. - Bernama

Karnival Pandu Puteri Kebangsaan 2014 di Putrajaya pada 6-9 Jun ini

Posted:

Karnival Pandu Puteri Kebangsaan 2014 di Putrajaya pada 6-9 Jun ini

31/05/2014 11:05am

KUALA LUMPUR - Karnival Pandu Puteri Kebangsaan 2014 akan berlangsung selama empat hari bermula 6 Jun ini, di Taman Wetlands, Putrajaya.

Menurut kenyataan PPPM di sini hari ini, isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor selaku Yang Dipertua Persatuan Pandu Puteri Malaysia (PPPM) dijangka merasmikan karnival itu pada 8 Jun di Boulevard, Putrajaya.

Sebanyak 600 ahli PPPM dari seluruh negara akan menyertai karnival yang akan dihoskan PPPM Cawangan Wilayah Persekutuan Putrajaya.

"Para peserta akan berkhemah dan menyertai aktiviti seperti memanjat tembok dinding, perahu naga, 'nature talk', 'lake crossing', cruise tasik dan mencari harta karun," menurut kenyataan itu.

Selain itu, pengunjung ke karnival itu juga berpeluang menyaksikan demonstrasi masakan menggunakan tenaga solar oleh ahli Pandu Puteri Kadet Cawangan Institut Pendidikan Guru, Kementerian Pendidikan. - Bernama

PRK Teluk Intan: 35 pusat pengundian dibuka pukul 8 pagi ini

Posted:

PRK Teluk Intan: 35 pusat pengundian dibuka pukul 8 pagi ini

31/05/2014 10:59am

TELUK INTAN - Sebanyak 35 pusat mengundi bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Teluk Intan dibuka mulai pukul 8 pagi ini bagi membolehkan 59,927 pengundi menunaikan tanggungjawab mereka.

Parlimen Teluk Intan meliputi dua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Pasir Bedamar dan Changkat Jong.

Semua pusat mengundi akan ditutup pukul 5 petang ini, kecuali pusat mengundi di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (T) Ladang Sungai Timah yang akan ditutup pada pukul 4 petang kerana mempunyai sedikit pengundi.

Penjumlahan undi dijangka bermula sebaik pusat mengundi ditutup dan akan dilakukan di Sekolah Menengah Kebangsaan Abdul Rahman Talib di Jalan Changkat Jong, di sini.

Pada pengundian awal 27 Mei lepas, sebanyak 95.61 peratus atau 392 daripada 410 pengundi keluar mengundi. - Bernama

0 ulasan:

Catat Ulasan