Sabtu, 31 Mei 2014

5/31/2014 03:28:00 PG

Dhaarma Raj: Malaysia realistik


Dhaarma Raj: Malaysia realistik

Posted: 29 May 2014 05:28 PM PDT

  • Dhaarma Raj (kiri) anggap pertemuan menentang Australia sebagai misi hidup mati skuad negara.Dhaarma Raj (kiri) anggap pertemuan menentang Australia sebagai misi hidup mati skuad negara.

MALAYSIA tidak meletakkan harapan tinggi pada perlawanan pembukaan menentang Australia di Kejohanan Piala Dunia 2014 di The Hague, Belanda, bermula esok. Lapor, MUHAMMAD AMINNURLAIFF.

Ketua jurulatih negara, Muhammad Dhaarma Raj Abdullah berkata, beliau tidak mahu memberi tekanan terlalu berat di bahu anak buahnya memandangkan Australia menduduki ranking nombor satu dunia.  

"Saya pernah bermain di kejohanan besar (Olimpik 1992), jadi saya tahu betapa sukarnya pertandingan di The Hague nanti.

"Untuk itu, saya tidak meletak sasaran yang besar dalam pertemuan ini, namun saya percaya dengan kualiti gandingan pemain lama dan baharu, kita mampu beri saingan.

"Apa pun, Australia sebuah pasukan yang hebat. Saya ingatkan kepada pemain jangan terlalu menghormati mereka dan beraksi seperti biasa.

"Jika kami peroleh keputusan positif, sudah tentu ia membantu untuk menghadapi perlawanan seterusnya," kata Dhaarma Raj.

Pada Piala Dunia 2014, Malaysia berada dalam Kumpulan A bersama Australia, Belgium, England, Sepanyol dan India.

Manakala Kumpulan B terdiri daripada Belanda, Jerman, New Zealand, Korea Selatan, Argentina dan Afrika Selatan.

Selepas berdepan Australia, skuad kebangsaan akan bertemu Belgium (2 Jun), England (5 Jun), India (7 Jun) sebelum melengkapkan perlawanan peringkat kumpulan dengan menentang Sepanyol pada 9 Jun ini.

Pada perlawanan pembukaan nanti, pasukan negara akan memakai lilitan kain hitam di lengan sebagai simbol menghormati kemangkatan Sultan Perak Sultan Azlan Shah.

Hodak optimis JDT ke final

Posted: 29 May 2014 05:22 PM PDT

  • Mahali Jasuli (dua, kanan) antara tonggak JDT yang bakal diturunkan di Kuantan, malam ini.Mahali Jasuli (dua, kanan) antara tonggak JDT yang bakal diturunkan di Kuantan, malam ini.

KEMENANGAN ke atas skuad The Red Giants pada perlawanan sebelum ini, diharapkan menjadi suntikan semangat buat Johor Darul Ta'zim (JDT) untuk menumpaskan Pahang dalam aksi separuh akhir kedua Piala FA di Stadium Darul Makmur, malam ini.

Pengurus merangkap Ketua Jurulatih JDT, Bojan Hodak berkata, beliau yakin anak buahnya mampu mengulangi pencapaian itu untuk membenam pasukan bimbingan Zainal Abidin Hassan di gelanggang lawan.

Meskipun mengakui bakal berdepan kesukaran dalam pertembungan berkenaan, pengendali dari Croatia itu tetap optimis anak buahnya mampu melangkah ke pentas akhir Piala FA buat kali kedua berturut-turut.

"Kami yakin untuk menang pada perlawanan dengan Pahang. Walaupun tahu ada kesukaran kerana bermain di tempat lawan, namun semua pemain berada dalam keadaan bersedia dan baik," katanya semalam.

Hodak berkata, tiada perubahan besar bakal dilakukan ke atas pasukan bimbingannya berbanding perlawanan terdahulu, namun tidak menolak kemungkinan mengubah keputusan di saat akhir.

Beliau turut mengakui terdapat beberapa pemain mengalami kecederaan, tetapi tidak serius.

"Semangat pemain cukup bagus. Daripada enam perlawanan terakhir, kami menang lima dan seri satu. Sudah tentu semangat mereka bagus.

"Kalau bermain di tempat sendiri, memang saya jangka akan penuh (kehadiran penonton). Saya harap stadium akan penuh esok," katanya.

Mengharapkan JDT berjaya melangkah ke perlawanan akhir, Hodak memberitahu skuad Harimau Selatan berada dalam tahap kesediaan yang tinggi untuk memberi persembahan terbaik.

Jangan kempunan lagi

Posted: 29 May 2014 05:13 PM PDT

  • ZainalZainal

PENGENDALI Pahang, Zainal Abidin Hassan yakin semangat juang anak buahnya akan membawa skuad itu melangkah ke pentas final Piala FA musim ini.

Dengan kelebihan gol di tempat lawan, Tok Gajah pasti tidak melepaskan impian untuk menebus kehampaan musim lalu, apabila berdepan Johor Darul Ta'azim (JDT) pada pusingan separuh akhir kedua Piala FA di Stadium Darul Makmur, malam ini.

Bagi Zainal, semangat tinggi di kalangan pemain memberikan petunjuk buatnya bahawa Pahang mampu meraih keputusan positif dalam perlawanan tumpuan itu nanti.

"Dengan sokongan padu penyokong setia skuad Tok Gajah, saya percaya ia dapat membantu pemain mempamerkan aksi membanggakan.

"Berdasarkan latihan beberapa hari ini, saya lihat mereka (pemain) begitu komited," katanya semalam.

Dalam pada itu, Zainal memberitahu pemain yang bakal disenaraikan dalam kesebelasan utama sudah diberikan tanggungjawab untuk membentuk pasukan yang mantap.

"Kelebihan yang ada sebelum ini perlu digunakan sebaik mungkin dan pemain perlu catat kemenangan.

"JDT sudah tentu berusaha keras untuk meraih kejayaan. Oleh itu, saya harap pemain komited dan kekal fokus menjaga gawang selain mencari peluang mencipta kemenangan hingga wisel penamat," katanya.

Dalam pada itu, ditanya ketiadaan tiga pemain utama yang digantung perlawanan, beliau memberitahu, ia tidak mengganggu strategi pasukan itu walaupun kesebelasan utama Pahang akan berubah selepas ketiadaan kapten pasukan, Mohd Razman Roslan, Azidan Sarudin dan Saiful Nizam Miswan.

"Sudah pasti ada perubahan tetapi saya tidak dapat mengumumkannya kerana segalanya akan diketahui esok (malam ini) selepas menilai prestasi semua pemain," katanya.

Setakat ini, difahamkan Orang Besi, Dickson Nwakaeme masih belum cergas sepenuhnya dan tugas merobek gawang bakal disandarkan kepada gandingannya, Matias Ruben Conti.

Manakala dua pertahanan import, Damion Delano Stewart dan Zeshan Rehman terus mendapat kepercayaan selain kemasukan kembali pemain berpengalaman, Jalaluddin Jaafar untuk menguatkan lagi benteng pertahanan.

Tiket separuh akhir kedua habis

Posted: 29 May 2014 05:07 PM PDT

  • Penyokong tegar pasukan bola sepak Pahang teruja menunjukkan tiket perlawanan separuh akhir kedua Piala FA antara Pahang menentang JDT di kaunter tiket Stadium Darul Makmur, semalam.Penyokong tegar pasukan bola sepak Pahang teruja menunjukkan tiket perlawanan separuh akhir kedua Piala FA antara Pahang menentang JDT di kaunter tiket Stadium Darul Makmur, semalam.

BEBERAPA peminat Tok Gajah yang membanjiri perkarangan Stadium Darul Makmur sejak awal pagi semalam terpaksa berputih mata selepas gagal mendapatkan tiket perlawanan separuh akhir kedua Piala FA antara Pahang dan Johor Darul Ta'zim (JDT), malam ini.

Tidak sampai dua jam kaunter dibuka, tiket perlawanan tumpuan itu habis terjual kira-kira jam 10.40 pagi.

Difahamkan terdapat segelintir peminat sanggup berkampung di stadium berkenaan sejak malam kelmarin.

Beberapa peminat yang tidak berpuas hati bertindak di luar kawalan dengan merempuh masuk ke kaunter jualan.

Kekecohan itu bagaimanapun dapat diredakan oleh anggota keselamatan yang berkawal di kaunter jualan tiket terbabit.

Bagi Mohd Zulhilmi Zainudin, 15, dia dan tiga lagi rakannya mula menunggu di depan stadium sejak jam 8 pagi untuk mendapatkan tiket namun hampa apabila sampai gilirannya, tiket sudah habis dijual.

"Kami hanya dapat dua tiket saja hari ini. Kecewa sangat sebab memang tak sabar nak menyaksikan perlawanan malam esok (malam ini) untuk memberikan sokongan kepada pasukan Pahang.

"Musim ini, saya dan rakan-rakan tidak pernah gagal hadir ke stadium namun saya doakan kejayaan menjadi milik Pahang dan dapat mara ke final musim ini," katanya.

Malah bagi peminat wanita, Alia Redzuan, 19, dia dan empat rakannya terpaksa pulang dengan tangan kosong walaupun sudah menunggu sejak jam 8 pagi.

"Kecewa sangat. Tapi terpaksa akur, walaupun ada pemasangan skrin layar besar malam esok (ini), kami semua tak bersemangat dan lebih teruja kalau dapat saksikan sendiri depan mata," katanya.

Pemain cilik berkampung

Posted: 29 May 2014 05:00 PM PDT

SERAMAI 870 pemain cilik bakal berkampung di Stadium Mini Majlis Perbandaran Temerloh (MPT) bermula hari ini hingga Ahad mempamerkan bakat masing-masing dalam Pestabola Piala Sultan Ahmad Shah (Shah) Muda 2014.

Kejohanan julung kalinya dianjurkan Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP) itu menarik penyertaan sebanyak 58 pasukan iaitu 29 pasukan bagi kategori bawah 9 dan 10 tahun.

Presiden PBNP, Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah berkata, beliau mahukan kejohanan itu menjadi platform terbaik mendidik pemain cilik dan memupuk minat mereka terhadap kerjaya pemain bola sepak profesional.

Menurutnya, idea itu tercetus selepas melihat kelibat pemain cilik beraksi di padang berhampiran kediamannya dan itu menarik minat untuk menganjurkan kejohanan itu.

"Namun ini perlukan kerjasama banyak pihak, antaranya ibu bapa untuk mendidik dan dan membentuk mereka dari segi minda dan fizikal," katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis pelancaran dan pengundian pasukan di sini, kelmarin.

"Setakat ini, kita fokuskan kejohanan ini di negeri ini dan jika sambutan menggalakkan, satu lagi kategori umur akan ditambah untuk akan datang," katanya.

Sementara itu, Setiausaha Jawatankuasa Pengelola Kejohanan, Muhammad Faiz Hashim memberitahu, pertandingan akan bermula jam 3 petang ini dan perasmian bakal disempurnakan Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah pada 31 Mei.

"Perasmian berlangsung pada jam 8 malam tersebut di stadium yang bakal diserikan dengan konsert istimewa menampilkan artis jemputan, Najwa Latiff dan dari seberang, Yuni Sahara cabutan bertuah, bunga api dan perarakan masuk pasukan bertanding.

"Kita berharap orang ramai sekitar Temerloh dan daerah berdekatan tidak melepaskan peluang dan memenuhi stadium untuk menambahkan lagi kemeriahan perasmian pada malam itu," katanya

Menurutnya, juara setiap kategori akan membawa pulang wang tunai RM300 dan baucar peralatan sukan bernilai RM300 setiap seorang selain medal, piala dan sijil penyertaan.

"Manakala naib juara akan menerima wang tunai dan baucar bernilai RM200 seorang dan RM100 serta baucar (RM100) seorang bagi pemenang di tempat.

The Socceroos tidak gentar hadapi lawan

Posted: 29 May 2014 04:57 PM PDT

  • Pasukan Australia meninggalkan Lapangan Terbang Antarabangsa Sydney untuk berlepas ke Brazil, semalam.Pasukan Australia meninggalkan Lapangan Terbang Antarabangsa Sydney untuk berlepas ke Brazil, semalam.

MESKIPUN turun sebagai pasukan bukan pilihan, Australia tidak menganggap ia sebagai faktor untuk membuatkan mereka dipandang rendah di Piala Dunia.

Lebih selesa dianggap pasukan underdog, pemain sayap The Socceroos,  Tommy Oar  percaya kejutan dapat dilakukan mereka pada kejohanan tersebut.

"Kami bukan pasukan pilihan, jadi kami tidak tertekan malah gelaran sebagai underdog lebih memberi motivasi kepada pemain untuk mengejutkan pasukan yang unggul ada.

"Semua ini sangat menarik dan kami tidak sabar menunggu kejohanan ini bermula," katanya.

Semalam. Australia menjadi pasukan pertama daripada 31 negara yang tiba awal ke Brazil.

0 ulasan:

Catat Ulasan