Rabu, 30 April 2014

4/30/2014 02:27:00 PG

Pegawai, pemain bola perlu kawal emosi


Pegawai, pemain bola perlu kawal emosi

Posted: 29 Apr 2014 06:30 AM PDT

  • Khairy JamaluddinKhairy Jamaluddin

MENTERI Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin menegur sikap sesetengah pegawai pasukan bola sepak yang gagal mengawal emosi sehingga mencetuskan keganasan di padang ketika perlawanan berlangsung.

Menurutnya, situasi seperti itu tidak wajar berlaku kerana pegawai mahupun pemain sendiri seharusnya menunjukkan teladan yang baik kepada penyokong bola sepak.

"Dengan mempamerkan sikap buruk kepada penyokong, ia sedikit sebanyak mendorong penyokong untuk turut melakukan perkara sama ketika berlangsungnya sesuatu perlawanan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan liga badminton profesional 'Malaysia Purple League' di Sentosa Sports Arena di Kuala Lumpur hari ini.

Khairy berkata sekiranya pegawai atau pemain mampu mengawal emosi serta menunjukkan contoh yang baik dan tidak bertindak melulu, masalah keganasan di padang bola akan dapat dibendung.

"Walaupun perkara ini telah dibangkitkan berulang kali, masalah keganasan tetap berlaku. Saya harap Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dapat meningkatkan usaha untuk membendung masalah ini," katanya.

Khairy juga turut mendesak agar badan induk bola sepak negara itu meningkatkan kualiti pengadilan tempatan.

Katanya, FAM perlu bertindak cepat dalam menghasilkan kualiti pengadilan yang lebih baik bagi memastikan tidak timbul sebarang keraguan dalam kalangan penyokong.

Dalam perkembangan lain, Khairy berkata beliau akan meminta pandangan pengendali skuad Harimau Muda Datuk Ong Kim Swee sebagai penyelaras semua skuad Harimau Muda, berhubung pencapaian skuad Harimau Muda B yang tewas dalam sembilan perlawanan dan berada di kedudukan tercorot dalam Liga Singapura musim ini.

"Saya perlu ambil tahu mengenai hal ini," katanya.  - Bernama

Penjaga gol Terengganu terpaksa berehat

Posted: 29 Apr 2014 12:29 AM PDT

PENJAGA gol Terengganu, Mohd Sarbinee Allawee Ramli dinasihat oleh doktor agar berehat selama enam minggu ekoran kecederaan pada bahunya.

Beliau berkata doktor memberitahu kecederaannya itu mengambil masa untuk pulih.

"Jika mengikut tempoh rehat enam minggu itu, saya memang akan terlepas aksi sehingga Liga Super melabuhkan tirai. Namun jika saya cepat sembuh, saya bertekad akan kembali beraksi," katanya.

Sarbinee terpaksa diusung keluar seawal minit kedua ketika Terengganu menentang Perak di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah di sini pada 19 April lalu.

Penjaga gol utama musim lalu Mohd Sharmiza Yusof dan penjaga gol ketiga Mohammad Izzuddin Hussin bakal mengisi kekosongan yang ditinggalkan Sarbinee. - Bernama

Tagih sentuhan Boateng

Posted: 28 Apr 2014 05:05 PM PDT

  • Tagih sentuhan BoatengMAHIZI

KELAB Penyokong Siber Bola Sepak Kelantan Darul Naim (Kelate.Net) menaruh sepenuh kepercayaan kepada sentuhan George Boateng bagi membimbing The Red Warriors menghadapi baki saingan Liga Malaysia musim ini.

Timbalan Presidennya, Mahizi Mahmood berkata, biar pun Boateng tidak mempunyai pengalaman dalam bidang kejurulatihan namun kehadiran bekas pemain antarabangsa Belanda itu diharap mampu memulihkan prestasi hambar yang dialami pasukan berkenaan ketika ini.

"Kita mengalu-alukan pelantikan Boateng sebagai ketua jurulatih baharu Kelantan menggantikan Steve Darby. Malah kita percaya kehadirannya dapat membuat perubahan drastik ke arah kebaikan pasukan sekali gus mengembalikan semula kepercayaan peminat.

"Dari segi pengalaman selaku jurulatih memang diakui dia begitu cetek, namun saya percaya pengalaman luasnya dalam bola sepak peringkat tinggi mampu memberi impak kepada peningkatan prestasi pasukan ini," katanya kepada Sinar Harian semalam.

Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) baru-baru ini membuat kejutan apabila menyingkirkan pengendali, Darby dan dua pemain import, Mohamad Ghaddar dan Obinna Nwaneri dalam usaha mereka untuk kembali bersaing memburu kejuaraan pada musim ini.

Tugas pertama jurulatih berusia 39 tahun itu kini terarah kepada persiapan pasukannya bagi menghadapi pasukan Liga Premier, Felda United FC pada aksi separuh akhir pertama Piala FA di Kota Bharu, 6 Mei ini.

Sementara itu, pada masa sama, Mahizi turut berharap penyokong gergasi pantai timur itu memberi ruang kepada dua pemain import baharu, Prince Tagoe dari Ghana dan Hussien Alaa Hussien Salman (Iraq) untuk menyesuaikan diri dengan corak permainan pasukan berkenaan.

"Terlalu awal untuk bercakap mengenai kehebatan mereka. Lagi pun kita hanya melihat aksi kedua-dua pemain ini dalam rakaman video Youtube dan belum menyaksikan persembahan sebenar mereka di atas padang.

"Malah tidak adil untuk kita meletakkan harapan terlalu tinggi di atas bahu Tagoe dan Hussien. Cuma sebagai status pemain import berkualiti, kita berharap mereka boleh menyaingi atau melebihi kehebatan dua pemain yang digugurkan sebelum ini," katanya.

'Saya bukan kacang lupakan kulit'

Posted: 28 Apr 2014 04:52 PM PDT

  • 'Saya bukan kacang lupakan kulit'Nazmi hadir pada Majlis Pelancaran Majalah Samba Sinar di PWTC. - Foto Sinar Harian Oleh: AFIQ RAZALI

"SAYA bukan lupa diri." Demikian tegas penyerang baharu Selangor, Muhammad Nazmi Faiz Mansor susulan dakwaan mengatakan beliau pemain kacang lupakan kulit apabila membuat keputusan meninggalkan PKNS FC yang menjadi penyelamat beliau semasa dirinya dipalit dengan kontroversi selepas berpindah daripada kelab Portugal, SC Beira Mar tahun lalu, lapor NOOR HAFIZA CHE ABDULLAH.

Nazmi berbuat demikian untuk bersama Selangor pada pasaran perpindahan pertengahan musim Liga Malaysia.

"Ini bukan sekadar penghijrahan biasa tetapi untuk kepentingan karier dan masa depan yang cerah.
"Saya mahu cari ilmu baru, tidak cukup dengan apa yang saya dapat di PKNS, jadi saya berhasrat untuk berpindah ke pasukan lain untuk memajukan diri.

"Jadi, tidak timbul isu lupa atau sebaliknya. Lagipun hubungan saya dengan PKNS masih seperti biasa," katanya.

Bekas pemain remaja SC Beira-Mar di Portugal itu turut berkata, kemerosotan prestasi pada musim kedua bersama PKNS juga antara sebab utama mengapa dia keluar dari pasukan tersebut walaupun pada tahun lalu, aksinya bersama kelab tersebut layak dipuji sehingga mendapat panggilan beraksi bersama skuad kebangsaan.

Ujar pemain berusia 19 tahun itu, dia berjanji akan melakukan yang terbaik bersama The Red Giants terutama dalam baki saingan Liga Super, seterusnya membantu pasukan baharunya itu meraih trofi musim ini.

"Tujuan saya ke Selangor juga adalah untuk bermain dengan lebih bagus dengan pasukan yang bagus, ini adalah peluang terbaik buat saya.

"Saya berjanji untuk merebut tempat dalam kesebelasan utama dalam baki perlawanan musim ini," katanya.

Ketika diaju soalan adakah beliau merupakan pemain yang 'high demand', Nazmi berkata: "Itu terlalu peribadi. Bagi saya itu urusan saya dengan Selangor. Tapi apa yang pasti saya berhijrah untuk masa depan saya."

Suka hati sayalah!

Posted: 28 Apr 2014 04:45 PM PDT

  • Suka hati sayalah!Mourinho (kanan) mempertahankan taktik digunakannya di Anfield, kelmarin.

PENGENDALI Chelsea, Jose Mourinho berkata, tiada apa yang salah mengenai strategi bertahan digunakan skuadnya ketika menewaskan Liverpool di Anfield, kelmarin.

Beliau berkata demikian selepas corak permainan The Blues dikritik oleh pengurus Liverpool, Brendan Rodgers yang menganggap taktik yang digunakan Mourinho telah menghalang asakan anak buahnya untuk membolosi gawang lawan.

"Itu permainan bertahan. Saya bingung dengan apa yang difikirkan media soal permainan bertahan. Ketika sebuah pasukan bertahan dengan baik anda menuduh mereka menang kerana taktik sebegitu.

"Tapi ketika sebuah pasukan bertahan dengan buruk dengan dibolosi dua atau tiga gol, anda sama sekali tidak membicarakan mengenai soal itu.

"Bagi saya senang, mana-mana pasukan yang mempamerkan aksi cemerlang, merekalah yang akan menang dan Chelsea layak menang pada malam ini (kelmarin)," katanya.

Pada masa sama, ketika diasak pertanyaan media, Mourinho berulang kali menegaskan menjuarai EPL bukan sasaran utama The Blues, musim ini.

"Kami sudah membicarakan hal ini sejak dulu lagi. Kami tidak rasa Chelsea mempunyai kesempatan untuk menjadi juara.

"Ketika ini, kami hanya ingin menamatkan saingan di tempat ketiga sekali gus layak ke Liga Juara-juara musim depan secara automatik," katanya.

Suarez terbaik PFA

Posted: 28 Apr 2014 04:42 PM PDT

  • Suarez terbaik PFASuarez (kanan) diumumkan sebagai Pemain Tahunan Terbaik PFA, manakala pemain Chelsea, Eden Hazard merangkul Anugerah Pemain Muda Terbaik.

PENYERANG Liverpool, Luis Suarez diumumkan sebagai Pemain Tahunan Terbaik Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional England (PFA).

Pemain antarabangsa Uruguay itu, dipilih dalam kalangan pemain terbaik profesional di England sebagai pemain paling menyerlah dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) ketika Liverpool hampir memburu kejuaraan liga.

Tempat kedua jatuh kepada pemain tengah Chelsea, Eden Hazard dan ketiga Yaya Toure dari Manchester City. Hazard memenangi Anugerah Pemain Muda Terbaik.

Suarez menerima anugerah itu dalam satu majlis di Grosvenor House Hotel di London, selepas Liverpool tumbang 2-0 kepada Chelsea di Anfield.

Kekalahan itu menjejaskan sedikit impian Liverpool untuk menjulang kejuaraan liga musim ini.

Untuk rekod, Suarez, 27, kini meledak 30 gol dalam kancah liga dari 31 aksi permainan.

"EPL penuh dengan pemain yang hebat dan ia satu penghormatan bagi saya kerana mereka mengiktiraf usaha anda di padang permainan," kata Suarez.

Untuk pertama kalinya sejak 1990, tidak ada seorang pun pemain Manchester United diundi untuk menduduki senarai pemain-pemain pilihan liga perdana oleh rakan-rakan profesional mereka.

Tahun lalu, anugerah pemain terbaik liga dimenangi pemain Tottenham Hotspur, Gareth Bale yang kini berpindah ke Real Madrid sekali gus menjadikannya sebagai pemain termahal dunia.

0 ulasan:

Catat Ulasan