Isnin, 31 Mac 2014

3/31/2014 02:31:00 PG

Terengganu tamat kontrak Marcio Souza


Terengganu tamat kontrak Marcio Souza

Posted: 30 Mar 2014 03:49 AM PDT

  • PBSNTPBSNT

TERENGGANU mengambil langkah drastik apabila menamatkan kontrak pemain import Marcio Souza Da Silva dari Brazil ketika kempen Liga Super sedang rancak berjalan.
    
Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) Arpin Draman berkata penamatan kontrak pemain itu dibuat berikutan pihak pengurusan tidak berpuas hati dengan ketumpulan penyudahnya.
    
"Oleh kerana dia tidak mempamerkan aksi yang kita mahukan, maka kita akan cari pemain lain bagi mengisi posisi yang ditinggalkannya. Lagipun kita kekurangan penyerang import berbisa dan sudah pasti kita akan mencari seorang penyerang baharu yang lebih berkualiti dari segi penyudah," katanya kepada Bernama hari ini.
    
Sehubungan itu menurut Arpin, pihaknya akan menguji beberapa pemain import asing termasuk bekas penyerang pasukan Beijing Baxy F.C iaitu Stephen Ayodele Makinwa, pemain kelahiran Nigeria.
    
Beliau berkata pemain import baharu yang akan dipilih kelak mungkin akan diturunkan beraksi awal April ini.
       
Dalam pada itu, pengendali skuad Terengganu, Abdul Rahman Ibrahim berkata beliau merasa rungsing kerana persembahan pasukannya masih belum mantap dan mempunyai beberapa kelemahan.
    
Justeru bagi mengelak Terengganu daripada terus menunjukkan lebih banyak kelemahan, katanya mereka perlu menunjukkan permainan yang lebih positif dengan gerakan menarik untuk membuat kejutan gol atau membolosi benteng pertahanan lawan.
    
Beliau berkata anak buahnya mudah hilang fokus di saat-saat akhir permainan. - Bernama

Gagal ikut arahan jurulatih punca Kedah kalah

Posted: 30 Mar 2014 02:27 AM PDT

  • David Stuard MitchellDavid Stuard Mitchell

KEGAGALAN pemain skuad Liga Perdana Kedah mengikut strategi dan arahan ketua jurulatih David Stuard Mitchel dikatakan sebagai penyebab kekalahan mereka 1-3 kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) Jumaat lepas.
 
Penasihat Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) Datuk Othman Aziz berkata beberapa pemain sekadar melengkapkan jadual perlawanan dan tidak bermain bersungguh-sungguh untuk mencapai misi ke Liga Super 2015.
    
"Semakin hari semakin merudum apabila mencatat empat kemenangan sahaja. Ada masalah dalam pasukan ini di mana tidak ada koordinasi dan ketua pasukan yang boleh memimpin pasukan sepanjang tempoh 90 minit perlawanan.
    
"Wujud elemen tak berapa sihat dalam pasukan ini dan saya minta pengurus dan jurulatih lakukan perubahan yang lebih besar untuk
pasukan bangkit semula," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Othman bekas pengurus pasukan Kedah musim 2008/2009 berkata peminat bola sepak tempatan mahu melihat kejayaan pasukan yang kini digelar 'Helang Merah' selepas disuntik dengan peruntukan besar iaitu RM10 juta.
    
Setelah sembilan perlawanan, Kedah hanya mengumpul 13 mata dengan memperoleh empat kemenangan, empat kalah dan satu seri.
    
Sementara itu beliau turut mengumumkan akan bertanding jawatan exco Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pada 25 Mei depan.
    
"Dengan adanya orang yang komited dalam pembangunan bola sepak, ia mampu melonjak negara ini sebagai negara disegani dalam sukan bola sepak," katanya. - Bernama

Irfan tak puas hati corak permainan

Posted: 29 Mar 2014 10:07 PM PDT

  • Irfan tak puas hati corak permainanPenyerang Felda, Wilson (tengah) diasak pemain Perlis, Wittawin Clowuttiwat (kanan) pada perlawanan Liga Premier di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, malam kelmarin. Dalam pertemuan itu, Wilson meledak hatrik.

PENGENDALI Felda United FC, Irfan Bakti Abu Salim masih tidak berpuas hati meskipun anak buahnya melakar kemenangan pertama di laman sendiri, musim ini.

Pada aksi Liga Premier kelmarin, The Settlers membenam Perlis 5-1 di Stadium Selayang.

Keputusan itu menyaksikan Felda naik lima anak tangga untuk menghuni kedudukan ketiga liga.

"Dari segi jumlah jaringan saya berpuas hati. Tetapi, saya kurang gembira dengan corak persembahan pemain.

"Pemain saya menampilkan corak permainan yang kurang memberangsangkan.

"Banyak perkara perlu diperbaiki terutamanya di bahagian serangan," katanya.

Irfan merumuskan persembahan Felda masih kurang menyengat dan menuntut barisan pemainnya supaya menggandakan usaha bagi mencapai matlamat layak ke saingan Liga Super 2015.

Mengulas aksi Edward Junior Wilson yang meledak hatrik pada perlawanan itu, Irfan berkata: "Wilson pemain penyerang dan peranannya adalah untuk menjaringkan gol dalam setiap perlawanan."

Selain Wilson, dua lagi gol Felda dijaringkan Ndumba Makeche dan K Soley manakala gol sagu hati Perlis disumbang oleh Dao Bakary.

Selepas ini Felda bakal berdepan DRB-Hicom pada Jumaat sebelum melengkapkan aksi pusingan pertama menentang Kedah, 7 April ini.

Sasi Kumar rehat panjang

Posted: 29 Mar 2014 10:04 PM PDT

  • Sasi Kumar rehat panjangSasi Kumar

PENJAGA gol utama Johor Darul Ta'zim II (JDT II) K Sasi Kumar bakal direhatkan sehingga lima atau enam bulan selepas patah kaki dalam perlawanan Liga Premier menentang Sabah di Likas, kelmarin.

Pada pertemuan itu, kedua pasukan berkongsi satu mata selepas terikat 1-1.

Penyerang import dari Syria Marwan Mustafa Sayedeh meletakkan Sabah di depan pada minit ke-27 sebelum Braulio Nobrega Rodriguez menyamakan kedudukan untuk skuad Harimau Selatan, lima minit kemudian.

JDT II yang kini menghuni tangga keempat liga (15 mata) bakal bertemu Pulau Pinang, Jumaat ini.

Dhagandey memukau

Posted: 29 Mar 2014 10:01 PM PDT

  • Dhagandey memukauNama Ali Ashfaq (kiri) mula menjadi igauan kepada benteng pertahanan lawan musim ini. - Foto Sinar Harian oleh AHMAD ZAKI OSMAN

AKSI lincah Ali Ashfaq atau dikenali sebagai Dhagandey yang sering memporak-perandakan benteng pertahanan Kedah membuahkan hasil apabila mencipta hatrik untuk mencatat kemenangan 3-1 pada aksi Liga Premier di Alor Setar, kelmarin.

Bintang asal Maldives ini turut menerima pujian melambung daripada pengendali Polis Diraja Malaysia (PDRM), Dollah Salleh.

"Secara keseluruhan, saya berpuas hati aksi dipamerkan pemain untuk mengutip tiga mata penuh.

"Bukan sahaja kepada Ashfaq, tetapi seluruh pemain wajar terima kredit atas kesungguhan ini," katanya.

The Cops kini merampas tampuk pendahulu liga berikutan keputusan seri yang dicatat Pulau Pinang di Stadium Hang Jebat.

PDRM akan meneruskan rentak  permainan dengan melayan kunjungan KL SPA di Kelana Jaya, Jumaat ini.

Milan, United senasib

Posted: 29 Mar 2014 09:56 PM PDT

  • Milan, United senasibSeedorf (kanan) anggap Milan mengalami nasib sama seperti Manchester United, musim ini.

PENGENDALI AC Milan, Clarence Seedorf berkata, prestasi skuad bimbingannya pada musim ini sama dengan nasib yang dialami oleh kelab Liga Perdana Inggeris (EPL), Manchester United.

Menurut Seedorf, persamaan itu diambil kira sejak United diambil alih oleh David Moyes dan Milan dibimbing oleh beliau.

Katanya, sejak United dikendalikan Moyes, prestasi The Red Devils tidak cemerlang seperti mana di bawah bimbingan Sir Alex Ferguson dan apa yang dialami oleh United sama terjadi kepada Milan, selepas beliau mengambil alih tugas daripada Massimiliano Allegri.

"Apa yang berlaku kepada Milan sama seperti United. Kedua-dua pasukan ini berdepan prestasi hambar setelah pertukaran jurulatih.

"Tapi, saya yakin kami masih boleh mampu untuk bersaing dalam saingan ini musim depan.

"Dan paling penting ketika ini ialah kesabaran. Saya juga harap peminat memahami situasi ini," katanya.

Untuk rekod, Milan kini menduduki tangga ke-12 liga dengan mengumpul 39 mata selepas 30 perlawanan.

0 ulasan:

Catat Ulasan