Jumaat, 14 Februari 2014

2/14/2014 03:39:00 PG

Malaysia di kedudukan ke 150 Fifa


Malaysia di kedudukan ke 150 Fifa

Posted: 13 Feb 2014 05:26 AM PST

  • Trofi Piala Dunia FIFA 2014Trofi Piala Dunia FIFA 2014

KUALA LUMPUR - Skuad bola sepak negara melonjak empat anak tangga ke kedudukan 150 berbanding bulan lepas dalam ranking terbaru yang dikeluarkan oleh Persekutuan Bola Sepak Dunia (Fifa) hari ini.

Kedudukan terkini itu menyaksikan Malaysia yang dikendalikan sementara Datuk Ong Kim Swee berkongsi tempat bersama Singapura dan Liechtenstein selain turut setanding dengan beberapa negara lain seperti Guyana dan India (kedua-duanya 154) serta Puerto Rico (157).

Dalam kalangan negara Asia Tenggara, Malaysia naik satu anak tangga untuk berada pada kedudukan keenam di belakang Filipina (127), Myanmar (130), Vietnam (143), Thailand (147) serta Singapura (150).   

Di peringkat Asia, Malaysia turut naik satu anak tangga untuk berada pada kedudukan ke-29 daripada 46 negara.

Skuad Harimau Malaya dijangka menentang Filipina dalam aksi persahabatan, 1 Mac ini di Stadium Majlis Perbandaran Selayang sebelum berdepan Yemen pada perlawanan terakhir kumpulan D, kelayakan Piala Asia 2015 di Emiriyah Arab Bersatu (UAE), empat hari kemudian.

Sementara itu, naib juara Piala Konfederasi 2013, Sepanyol terus mengekalkan status selaku pasukan terbaik dunia dengan mengumpul 1,506 mata manakala Jerman dan Argentina masing-masing mengekalkan kedudukan kedua dan ketiga terbaik dunia.

Jerman dan Agentina masing-masing mengumpul 1,314 mata dan 1,255 mata. Kedudukan ranking FIFA itu melibatkan 209 negara.  - Bernama

Nasri pulih awal

Posted: 12 Feb 2014 08:17 PM PST

  • Nasri pulih awalNasri dilaporkan akan diturunkan menentang Chelsea, Ahad ini.

PEMAIN tengah Manchester City, Samir Nasri berkemungkinan diturunkan dalam pusingan kelima Piala FA, menentang Chelsea, awal pagi Ahad ini.

Nasri sebelum ini dilaporkan berehat selama lapan minggu kerana kecederaan lutut yang dialaminya ketika menentang Newcastle United, 12 Januari lalu.

"Nasri dan Javi Gracia sudah mula berlatih. Kita akan lihat adakah mereka cergas untuk diturunkan menentang Chelsea, Ahad ini," kata pengendali City, Manuel Pellegrini.

Berita terbaharu itu sedikit sebanyak menggembirakan kem The Citizens kerana mereka sememangnya memerlukan khidmat pemain Perancis itu, bagi pertemuan menentang Barcelona dalam kelompok 16 pasukan terbaik, Liga Juara-Juara, Rabu depan.

"Kita akan pantau permainan Nasri. Sekiranya dia cergas sepenuhnya, dia akan diturunkan," katanya.

JDT kembali temui momentum

Posted: 12 Feb 2014 07:51 PM PST

  • JDT kembali temui momentumAmri Yahyah buktikan dirinya kekal berbisa apabila ledak gol pembukaan JDT di Larkin, kelmarin.

KEJAYAAN Johor Darul Takzim (JDT) menewaskan Kedah dalam aksi suku akhir pertama Piala FA 2014 di laman sendiri, kelmarin, cukup menggembirakan pengendalinya.

Menyifatkan pertemuan dengan Lang Merah sebagai perlawanan penting, Cesar Ferrando Jiminez memuji aksi yang dipersembahkan semua pemainnya.

"Segalanya penting bagi perlawanan malam ini (malam kelmarin) dan saya gembira dengan apa yang diberikan semua pemain saya.

"Mereka berusaha dengan baik untuk mendapatkan gol menerusi beberapa siri asakan dan hantaran jauh," katanya, di sini, kelmarin.

Mengakui ketiadaan Pablo Aimar akibat kecederaan sedikit menggugat permainan, Jiminez tetap kagum dengan komitmen ditunjukkan pemain tempatan dalam mengawal permainan.

"Pada saya, lebih penting di sini adalah aksi pemain yang diturunkan seperti Mat Yo dan Safee Sali untuk memberikan sesuatu bagi mencari kemenangan.

"Tambahan pula, Kedah merupakan pasukan yang hebat dari Liga Perdana dan mereka bermain dengan baik pada malam ini (kelmarin). Oleh itu, kita akan bersiap sedia untuk pertemuan timbal balik di Kedah nanti," katanya.

Sementara itu, Baihakki Khaizan turut memuji kerjasama diberikan rakan sepasukan yang bekerja keras memastikan JDT mendapat bekalan selesa ke Stadium Darul Aman bagi aksi timbal balik, 18 Februari depan.

"Alhamdulillah kita dapat kemenangan.. saya rasa kita mula liga dengan tekanan sendiri dan semua pemain rasa perasaan ini. Bukan senang main bersama JDT, tetapi ia satu kebanggaan.

"Perlahan-lahan kita mendapatkan momentum dan insya-ALLAH kemenangan malam ini akan menjadi satu semangat kepada pasukan dan lebih positif lagi," katanya.

Mengulas tindakan Mohd Fazly Mazlan menjatuhkan Mohd Khyril Muhymeen Zambri yang membawa kepada layangan kad merah, Baihakki memuji pengorbanan dilakukan rakan sepasukannya itu.

"Saya rasa dia buat (terjahan) untuk pasukan. Saya tidak pernah salahkan pemain dapat kad merah kerana pasukan.

"Dia berkorban untuk pasukan, kalau tidak sudah tentu keputusan menjadi 2-2, sudah tentu jadi satu hal. Oleh itu dia membuat apa yang patut dan kita sokong dia," katanya.

Terserah PBSNT tentu nasib Irfan

Posted: 12 Feb 2014 07:48 PM PST

  • Ahmad SaidAhmad Said

NASIB bekas permain pertahanan T-Team, Mohd Irfan Abd Ghani berhubung insiden di terowong Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, 1 Februari lalu diserahkan kepada Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT).

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said menyifatkan tindakan meminta pemain mengangkat sumpah di hadapan al-Quran bukan perkara main-main sebaliknya demi maruah, namun enggan mengulas lanjut.

"Tidak perlu panjang-panjang, kita tunggu dan lihat sahaja sebab (Menteri Belia dan Sukan), Khairy Jamaluddin pun telah beri komen," katanya.

Semalam, Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah meminta semua pasukan termasuk Johor Darul Takzim (JDT) dan T-Team usah sewenang-wenangnya bersumpah al-Quran.

Tengku Abdullah berkata, tindakan melakukan sumpah seelok-eloknya perlu dielakkan, namun FAM tidak mampu menghalang pihak terbabit daripada melakukannya bagi membuktikan kebenaran masing-masing.

Bagaimanapun tindakan bersumpah tidak akan menghentikan siasatan FAM terhadap insiden itu.

Kelmarin, T-Team mengotakan janji untuk bersumpah dengan menggunakan al-Quran seperti diminta Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said.

Majlis angkat sumpah tersebut dimulakan dengan penolong jurulatih T-Team, Azlan Johar diikuti pemain tengah, Khairan Ezuan Razali.

Namun Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Kebudayaan dan Warisan Negeri Johor, Datuk Zulkurnain Kamisan berkata, tiada keperluan untuk Johor DT mengangkat sumpah depan al-Quran bagi mencari kebenaran berhubung insiden itu, sebaliknya mereka mempunyai keyakinan terhadap pihak berkuasa untuk melakukan siasatan.

Masih ada 90 minit

Posted: 12 Feb 2014 07:17 PM PST

  • Wan Jamak Wan HassanWan Jamak Wan Hassan

PENGENDALI PKNS FC, Wan Jamak Wan Hassan menyifatkan pasukannya tetap berpeluang untuk mara ke separuh akhir kerana aksi timbal balas kedua masih berbaki 90 minit menanti kedua-dua pasukan di Stadium Majlis Perbandaran Selayang pada 18 Februari ini.

Wan Jamak berkata, biar pun kalah tipis 2-3 kepada Kelantan pada aksi suku akhir pertama di Kota Bharu, malam kelmarin, namun ia sedikit pun tidak melunturkan semangat pemain mereka.

"Kami ada satu lagi perlawanan (suku akhir kedua) di tempat sendiri minggu depan. Perjalanan masih lagi jauh buat pasukan ini. Daripada situlah saya boleh merasai kepuasan (jika boleh mengalahkan Kelantan) yang datang daripada diri sendiri atau pun pemain.

"Tetapi lebih penting sekarang, saya perlu mengingatkan semua pemain kerana kami ada satu lagi perlawanan penting menentang Sime Darby FC hujung minggu ini," katanya.

Sedar mungkin ini peluang terbaik, Wan Jamak akui bersedia merehatkan pemain utama pada pertemuan dengan Sime Darby FC sebagai strategi menghadapi Kelantan nanti.

"Saya kena lihat dahulu sejauh mana kecergasan pemain saya. Pemain kena beraksi dua perlawanan dalam tempoh tiga hari dan ini meletihkan mereka. Kalau perlu rehatkan pemain utama untuk persiapan lawan Kelantan, saya akan letakkan mereka di bangku simpanan," katanya.

Mengulas kekalahan pada perlawanan tersebut, jurulatih itu berkata corak permainan pasukannya yang tidak begitu agresif dan terlalu memberi ruang kepada Ketua Pasukan Kelantan, Mohd Badhri Radzi membolehkan lawan mendahului pada babak pertama.

"Saya ingatkan pemain jangan beri ruang kepada pemain Kelantan dan hasilnya mereka menunjukkan permainan baik pada babak kedua. Tetapi malang bagi kami apabila Kelantan dapat menjaringkan gol ketiga mereka,"katanya.

Smith akur kemampuan Polis

Posted: 12 Feb 2014 07:15 PM PST

  • Smith akur kemampuan PolisShahrizan Salleh (kiri) cuba mengekang pergerakan Bobby Gonzales dalam pertemuan di Paroi, kelmarin.

KETUA jurulatih Tok Gajah, Ronald Smith akur kemampuan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang berjaya mengekang pasukan itu untuk seri  1-1 dalam aksi suku akhir pertama Piala FA di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi, kelmarin.

Menurutnya, skuad kendalian Dollah Salleh itu mempamerkan prestasi terbaik mereka sehingga berjaya mengekang Pahang dan memaksa hingga m-77 untuk menyamakan kedudukan.

"Memang saya sedikit kecewa kerana pemain gagal mencatatkan kemenangan di gelanggang lawan.

"Banyak peluang terhidang terutamanya pada separuh babak kedua namun jentera serangan gagal menemui penyudahnya," katanya.

Namun bagi pengendali berusia 64 tahun itu tetap berpuas hati dengan keputusan tersebut dan mengharapkan anak-anak buahnya akan bangkit dan mempamerkan aksi lebih baik pada pusingan kedua di Stadium Darul Makmur, pada 18 Februari ini.

"Dengan sokongan padu peminat dan beraksi di gelanggang sendiri akan memberikan kelebihan buat pasukan dan menaikkan lagi semangat mereka selain dapat mengawal corak permainan dengan baik," katanya.

0 ulasan:

Catat Ulasan